MINGGU APRESIASI WATAN SESI 2025/2026

Bangi — Minggu Apresiasi Watan (MAW) Sesi 2025/2026 Universiti Kebangsaan Malaysia telah berlangsung dengan penuh warna dan semangat di seluruh kampus Bangi. Program tahunan ini menjadi wadah utama dalam menyambut kehadiran mahasiswa baharu sambil menerapkan nilai watan, kepimpinan dan semangat kekitaan dalam kalangan warga universiti.

Dengan bertemakan “Mission: Impossible”, pelaksanaan MAW kali ini menyerlahkan keberanian dan ketahanan warga Kolej Ungku Omar (KUO) dalam menjayakan setiap agenda program yang dirancang. Tema ini menjadi simbol kekuatan pasukan dan semangat pantang menyerah mahasiswa KUO dalam menempuh cabaran – bahawa tiada misi yang mustahil apabila dijayakan dengan iltizam, strategi dan perpaduan.

Antara detik menarik sepanjang minggu tersebut ialah kehadiran sepasang kembar baharu yang mencuri perhatian ramai. Salah seorang daripadanya menetap di Kolej Ungku Omar (KUO) manakala pasangannya di Kolej Ibrahim Yaakob (KIY). Kehadiran pasangan kembar tersebut turut membentuk simbol unik dalam kalangan mahasiswa, di mana kedua-duanya berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang pilihan masing-masing di universiti yang sama. Hal ini mencerminkan keteguhan semangat, keazaman dan sokongan antara adik-beradik dalam menempuh perjalanan akademik di peringkat institusi pengajian tinggi.

Selain itu, program turut menerima lawatan daripada beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) universiti yang turun padang bagi memberi sokongan moral serta memantau kelancaran pelaksanaan MAW di peringkat kolej.

Minggu Apresiasi Watan Sesi 2025/2026 bukan sekadar minggu pengenalan, tetapi satu misi pembentukan jati diri dan kesepaduan mahasiswa baharu UKM dalam menempuh perjalanan akademik mereka. Dengan semangat Mission: Impossible, setiap cabaran dilihat sebagai peluang untuk menawan potensi diri dan mengukuhkan makna sebenar menjadi anak watan universiti.

Disediakan oleh:
Sekretariat Media & Informasi
Kolej Ungku Omar, Universiti Kebangsaan Malaysia