UOFEST 2026
Bangi — UOFEST 2026 telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Januari 2026 dengan pelbagai pengisian berimpak tinggi yang melibatkan seluruh komuniti Kolej Ungku Omar (KUO), pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta pengunjung luar. Penganjuran festival ini bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan komuniti, malah menjadi wadah untuk menyemai nilai kemanusiaan, kesukanan dan kreativiti dalam kalangan peserta.
Program dimulakan dengan Malam Cinta Gaza yang berlangsung pada 9 Januari 2026 bermula jam 8.30 malam. Majlis ini dimulakan dengan alunan qasidah dan selawat yang menyentuh jiwa, diikuti sesi perkongsian bertemakan Perjuangan Ihsan Demi Insan Sejagat oleh The Helmis dan Iylia Balqis berkaitan delegasi Global Sumud Flotilla. Kehadiran para peserta yang mengenakan tema pemakaian hitam atau putih telah memeriahkan suasana serta melambangkan solidariti dan keprihatinan terhadap isu kemanusiaan sejagat.
Seterusnya, pada 10 Januari 2026, UOFEST 2026 diteruskan dengan penganjuran UNORUN yang berlangsung dari jam 7.00 pagi hingga 11.00 pagi. Program larian ini telah dirasmikan oleh Ayahanda Kolej Ungku Omar dan berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, umur dan latar belakang, termasuk penglibatan golongan istimewa (OKU). Semangat kesukanan dan inklusiviti yang ditonjolkan jelas mencerminkan objektif penganjuran program ini. Pada hari yang sama, Piala BBC Beyblade X turut diadakan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada seluruh komuniti tanpa mengira jantina dan peringkat umur. Pertandingan ini berjalan dengan lancar dan disempurnakan dengan majlis penyampaian hadiah oleh Ayahanda Kolej Ungku Omar, Prof. Madya Ts. Dr. Darman bin Nordin.
Pada sebelah malam, berlangsung Majlis Perasmian UOFEST 2026 pada jam 8.30 malam yang telah dirasmikan oleh Ayahanda Kolej Ungku Omar. Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Ketua Pengarah UOFEST 2026, Maziah Afiqah binti Mad Daud. Suasana malam tersebut bertambah meriah dengan kehadiran pelajar UKM dan pengunjung luar yang hadir menyaksikan persembahan daripada pertandingan Malam Patah Hati 4.0, sebelum diteruskan dengan persembahan artis jemputan, Zaki Yamani. Majlis pada malam tersebut diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah bagi pertandingan Malam Patah Hati 4.0.
Kemuncak UOFEST 2026 diteruskan pada hari terakhir dengan perlawanan penentuan Mobile Legends: Bang Bang yang disertai oleh empat kumpulan pelajar UKM, diikuti sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang. Pada sebelah malam pula, suasana UOFEST 2026 dimeriahkan dengan Pertandingan UO Kpopstar 3.0, iaitu pertandingan tarian berkumpulan yang berjaya menarik perhatian ramai. Majlis turut diserikan dengan persembahan artis jemputan, Fahimi Rahmat, sebelum festival ini melabuhkan tirainya dengan sesi penyampaian hadiah, menandakan berakhirnya UOFEST 2026 dengan penuh kejayaan.

Disediakan oleh:
Exco Media & Publisiti
Ungku Omar Festival 2026,
Kolej Ungku Omar,
Universiti Kebangsaan Malaysia.