HAEMO-CA9-NUTRI 2026

Bangi — Program Haemo-CA9-Nutri telah berjaya dianjurkan selama tiga hari iaitu pada 6 hingga 8 Januari 2026, bertempat di Aras 5 dan 6, Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang. Program ini merupakan satu inisiatif kesedaran kesihatan yang bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan amalan pemakanan seimbang sebagai asas kesejahteraan hidup.

Program ini dijayakan melalui  lima kolaborasi utama, iaitu Pusat Darah Negara, Pusat Kesihatan UKM, Persatuan Pemakanan Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Negara dan Diet Ideas Sdn. Bhd.. Kerjasama strategik ini membolehkan pelbagai perkhidmatan kesihatan disediakan secara menyeluruh dan bersepadu kepada para peserta.

Sepanjang penganjuran program, pelbagai aktiviti kesihatan dan pemakanan telah dilaksanakan bagi memberi manfaat secara langsung kepada pengunjung. Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah Kempen Derma Darah yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendermaan darah dalam menyelamatkan nyawa. Selain itu, peserta turut berpeluang menjalani Pemeriksaan Kesihatan dan Pemeriksaan Gigi secara percuma sebagai langkah saringan awal terhadap tahap kesihatan diri.

Dalam aspek pemakanan, program ini turut menawarkan Nasihat Pemakanan serta Konsultasi Diet Seimbang yang dikendalikan oleh pegawai dan pakar pemakanan bertauliah. Sesi ini memberi panduan praktikal kepada peserta tentang pemilihan diet yang sesuai mengikut keperluan individu dan gaya hidup masing-masing. 

Di samping itu, Ceramah Kesihatan turut diadakan bagi menyampaikan maklumat kesihatan secara lebih mendalam dan berstruktur. Dengan ceramah yang bertajuk “Diet Ideas: Healing Through Nutrition” yang telah berlangsung pada 7 Januari 2026. Ceramah ini disampaikan oleh Puan Masfarah Wahidah, Pengasas dan CEO Diet Ideas, yang menekankan peranan pemakanan sebagai komponen penting dalam menjaga kesihatan dalam jangka masa panjang.

Secara keseluruhannya, program Haemo-CA9-Nutri telah mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat berkaitan kesihatan serta pemakanan seimbang. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform pendidikan kesihatan yang berkesan dan memberi impak positif kepada komuniti.

Disediakan oleh:

Exco Media & Publisiti

BSMM Det.88C, Kolej Ungku Omar, Universiti Kebangsaan Malaysia