Aplikasi Mudah Alih Pembajaan Sawit (Baja Sawit) Berasaskan Infografik

Golongan generasi muda yang terdiri daripada belia merupakan pelapis pekebun kecil warga emas yang sudah semakin meningkat usia.  Pekebun kecil warga emas merupakan antara individu penting yang telah banyak berbakti mengusahakan penanaman kelapa sawit bagi meningkatkan industri sawit negara.  Pengetahuan dan kemahiran mereka tentang selok belok pembajaan kelapa sawit dengan cara yang betul sangat bernilai dan berharga untuk dikongsi bersama bagi golongan generasi muda yang berminat meneruskan usaha murni ini.  Kebiasaannya perkongsian ilmu pembajaan sawit yang diterapkan adalah melalui perkongsian secara tidak formal seperti perbincangan santai mahupun perkongsian ilmiah melalui kursus-kursus yang ditawarkan oleh agensi-agensi sawit tertentu.  Oleh itu, tujuan utama kajian ini adalah untuk membangunkan aplikasi mudah alih Baja Sawit bagi memberi info pembajaan kelapa sawit yang bermakna kepada mereka.  Pembangunan aplikasi ini adalah merujuk kepada prinsip teori beban kognitif bertujuan bagi memudahkan pekebun kecil mempelajari selok belok asas pembajaan kelapa sawit bukan sahaja lebih mudah dan menarik tetapi juga menjadikan aplikasi ini dapat digunakan secara realistik dan praktikal secara dalam talian.  Kajian pembangunan ini menggunakan adaptasi Model Pembinaan Modul Sidek (MPMS). Terdapat dua peringkat dalam model ini iaitu peringkat penghasilan draf aplikasi dan peringkat penghasilan aplikasi sedia guna.  Peringkat pertama penghasilan aplikasi lengkap terdiri daripada tiga fasa utama iaitu fasa analisis keperluan, reka bentuk dan pembangunan.  Peringkat kedua penghasilan aplikasi lengkap dan sedia guna pula terdiri daripada fasa pengujian dan penilaian.  Aplikasi Baja Sawit ini adalah berbentuk digital yang boleh dicapai oleh pekebun kecil melalui aplikasi mudah alih (Mobile Apps).  Aplikasi Baja Sawit ini memberi sumbangan khususnya kepada bahagian Latihan Kemahiran Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai sumber rujukan yang bermakna dan pratikal bagi melahirkan pekebun kecil sawit novis dalam kalangan generasi muda seluruh agensi sawit dan pekebun-pekebun kecil generasi muda di Malaysia.

For further information: azura@ukm.edu.my

Leave a Reply