TiTle

Kesediaan Terhadap Internet Benda dan Kepintaran Buatan Dalam Sektor Perkilangan Minyak Kelapa Sawit Di Malaysia Dari Perspektif Bricolage

Share This Research

Share on facebook
Share on twitter
Share on email

Sehingga kini, tahap kesediaan sektor perkilangan minyak kelapa sawit (palm oil mills) di Malaysia terhadap penggunaan teknologi yang dikaitkan dengan Revolusi Industri ke-4 (IR4.0) masih tidak diketahui secara empirikal kerana kurangnya kajian lepas berkaitan isu penting ini. Mengikut pandangan dari pengkaji lepas, contohnya oleh Sidang Editor Palm Oil Engineering Bulletin Keluaran #121 Tahun 2016, sektor perkilangan minyak sawit Malaysia masih menggunakan teknologi dari “zaman batu”. Artikel dalam Palm Oil Engineering Bulletin Keluaran #134 Tahun 2020 pula mengatakan bahawa proses pengilangan minyak sawit (palm oil milling process) telah tidak berkembang (stagnant) selama beberapa dekad tanpa ada perkembangan yang besar, terutama berkenaan teknologi kawalan proses dan automasi. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengetahui permasalahan dihadapi oleh pengilang minyak sawit di Malaysia, tahap kebersediaan mereka untuk menerima teknologi IR4.0 terutamanya Internet Benda (Internet of Things, IoT) dan Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence, AI) dan seterusnya menghasilkan indeks kesediaan sektor perkilangan minyak kelapa sawit terhadap teknologi Internet Benda (IoT) dan AI tersebut. Ini turut dihasilkan dengan memahami strategi bricolage yang digunapakai oleh pekilang minyak kelapa sawit. Metodologi kajian adalah kualitatif deskriptif. Kajian akan dijalankan melalui empat fasa iaitu fasa pertama dengan melakukan kajian kepustakaan secara komprehensif berkaitan sektor perkilangan minyak sawit di Malaysia, tahap penggunaan serta kesediaan terhadap teknologi baru oleh mereka. Dari fasa ini, faktor yang mendorong serta cabaran dalam penggunaan teknologi IR4.0 akan dikaji. Satu model kesediaan akan dibangunkan dan instrumen bagi membangunkan indeks kesediaan akan disediakan. Dalam fasa kedua, kajian akan melakukan temu bual semi-structured dengan beberapa orang pemilik atau pengurusan kilang minyak kelapa sawit bagi mendapatkan maklumat lebih mendalam berkaitan permasalahan, strategi, dan kesediaan industri terhadap teknologi baru IR4.0 seperti Internet Benda (IoT) dan AI. Ia bertujuan bagi memurnikan model serta instrumen bagi indeks kesediaan. Dalam fasa ketiga, satu soal selidik akan dijalankan bersama responden yang terdiri dari pemilik, pengurusan serta pekerja dalam sektor perkilangan minyak sawit di Malaysia. Analisa dari data soal selidik dalam fasa ini akan menghasilkan indeks kesediaan. Fasa keempat adalah penyediaan laporan akhir dari kesemua tiga fasa sebelumnya. Hasil dari kajian ini adalah model kesediaan serta indeks kesediaan sektor perkilangan minyak kelapa sawit di Malaysia terhadap Internet Benda (IoT) dan AI. Kajian ini adalah penting bagi pemegang taruh seperti kementerian serta agensi yang berkaitan serta pengilang sendiri bagi memahami apakah masalah, cabaran serta faktor yang mendorong kesediaan pengilang minyak sawit dalam melabur dan seterusnya menggunakan Internet Benda (IoT) dan AI dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran, kelicinan operasi pengeluaran dan peningkatan produktiviti mereka secara keseluruhan. Selain itu, strategi bagi penggunaan teknologi atau inovasi baru IR4.0 seperti Internet Benda (IoT) dan AI akan dikaji melalui perspektif teoretikal bricolage.  

For further information: taha@ukm.edu.my

More To Explore