Lestari Fakulti Perubatan

Program Remaja Sihat “Remaja Kreatif, Minda Positif”

Situasi kesihatan mental di kalangan remaja kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, 1 dari 4 remaja di Malaysia mengalami stres, dengan remaja perempuan berada pada risiko dua kali ganda lebih tinggi untuk mengalami kemurungan berbanding remaja lelaki.

Statistik ini menekankan keperluan mendesak untuk menangani isu kesihatan mental di kalangan remaja secara berkesan.

Hasil kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) telah mendedahkan realiti yang membimbangkan mengenai kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Kajian tersebut menunjukkan bahawa 13.4 peratus kanak-kanak dan remaja yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai keinginan membunuh dan mencederakan diri sendiri akibat tekanan hidup yang mereka alami.

Melihat kepada situasi ini dan bersempena dengan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut pada 10 September, satu program kesihatan mental ini telah dirangka khusus untuk remaja yang tinggal di Flat Seri Melaka, Cheras, Kuala Lumpur pada 14 September 2024.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental serta memperkasakan mereka dengan kemahiran untuk mengawal diri dan bertindak secara positif apabila mengalami tekanan.


Tema “Remaja Kreatif, Minda Positif” telah dipilih untuk menggambarkan remaja sebagai individu yang kreatif dan berfikiran positif dalam menjalani kehidupan mereka agar kesihatan mental mereka sentiasa terjaga. Selaras dengan tema ini, pelbagai aktiviti yang menekankan kedua-dua aspek kreativiti dan kesihatan mental telah diatur untuk program ini. Program ini diharapkan dapat mencungkil kreativiti, menggalakkan inovasi, ekspresi diri, dan sikap optimistik di kalangan remaja dalam meningkatkan tahap kesihatan mereka, baik dari segi fizikal, mental ataupun spiritual.

Objective:
1. Memberi pendedahan kepada remaja mengenai kesihatan mental dalam konteks latarbelakang sosio ekonomi yang pelbagai.
2. Menarik minat golongan remaja untuk menimba ilmu berkaitan dengan kesihatan mental.
3. Melengkapkan remaja dengan kemahiran daya tindak agar mampu mengawal diri dan bertindak secara positif apabila mengalami tekanan.

Department:
Perubatan Keluarga

Program Head:
Dr. Irham Nordeena Muhammad