Faculty of Medicine UKM

🔍 Search
×
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh komitmennya dalam memacu kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan inovasi berteraskan teknologi apabila menganjurkan syarahan umum bertajuk “From Algorithm to Enterprise: Building AI-Driven Innovations in Healthcare” yang disampaikan oleh Rektor Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations University, UNU) dan Setiausaha Agung Muda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof. Tshilidzi Marwala di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
 
Dalam syarahan ini, Prof. Marwala menjelaskan bagaimana teknologi AI mampu membantu meningkatkan ketepatan diagnosis, menyokong proses membuat keputusan klinikal, mempercepatkan penemuan saintifik dan memperkukuh sistem kesihatan masa hadapan.
 
Selain membincangkan aspek teknikal dan inovasi, beliau turut menyentuh isu-isu kritikal berkaitan tadbir urus AI, etika penggunaan data, keselamatan maklumat dan kesaksamaan akses kepada teknologi.
 
Beliau menekankan bahawa pembangunan teknologi perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab agar manfaatnya dapat dinikmati secara adil oleh seluruh masyarakat.
 
Majlis ini disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali, yang mewakili Naib Canselor.
 
Dalam ucapannya, beliau berkata perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) membuka peluang besar kepada institusi pendidikan tinggi untuk meneroka pendekatan baharu dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
 
Katanya UKM sentiasa komited untuk memperkukuh ekosistem inovasi dan penyelidikan yang mampu menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi kepada masyarakat, sejajar dengan keperluan semasa serta agenda pembangunan negara dan global.
 
Syarahan yang dianjurkan oleh Fakulti Perubatan itu menghimpunkan warga akademik, penyelidik, profesional kesihatan dan pelajar untuk mendalami potensi AI dalam mempertingkatkan sistem penjagaan kesihatan.
 
Program ini turut diadakan bersempena Hari Keusahawanan Pelajar Tahun 1 Fakulti Perubatan dan sambutan ulang tahun ke-20 United Nations University Institute for Global Health (UNU-IIGH), sekali gus mencerminkan komitmen UKM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran era digital.
 
Turut hadir ialah Pro Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur, Profesor Dato’ Dr. Razman Jarmin; Pengarah UNU-IIGH, Dr. Revati Phalkey; Ketua Staf UNU, Mr. Michael Baldock; Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dato’ Dr. Marina Mat Baki; Pengarah Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI), Profesor Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad dan Pengerusi Syarahan Umum Profesor Tshilidzi Marwala, Prof. Madya Dr. Noor Akmal Shareela Ismail.
 
Sumber: FB Universiti Kebangsaan Malaysia