


KUALA LUMPUR, 6 Mei 2026 – Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan bengkel bertajuk “Ethical Use of AI in Scientific Writing” bertempat di Dewan Peperiksaan Praklinikal, Aras 2, Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan UKM. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari ini berjaya menghimpunkan lebih 50 warga akademik dan pelajar pascasiswazah dari Fakulti Perubatan UKM yang berminat untuk mendalami penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penulisan saintifik secara beretika dan bertanggungjawab.
Sesi ceramah telah disampaikan oleh Assoc. Prof. Dr. Chin Kok Yong, dari Jabatan Pharmakologi, Fakulti Perubatan UKM dan juga merupakan Ketua Editor Medicine and Health. Dalam perkongsian tersebut, beliau menerangkan pelbagai aplikasi AI dalam penyelidikan dan penulisan saintifik termasuk penggunaan AI untuk ringkasan literatur, analisis data serta penambahbaikan manuskrip. Peserta turut didedahkan kepada teknik dan strategi “prompting” yang efektif bagi membantu menghasilkan output AI yang lebih tepat, relevan dan berkualiti tinggi.
Selain aspek teknikal, bengkel ini turut memberi penekanan terhadap isu etika dalam penggunaan AI, termasuk pematuhan polisi jurnal, integriti akademik serta konsep “verify and declare” bagi memastikan setiap penggunaan AI disemak dan dinyatakan secara telus dalam penulisan ilmiah. Pendekatan ini penting untuk memastikan AI berfungsi sebagai alat sokongan produktif dan bukannya menggantikan peranan serta pertimbangan manusia dalam penyelidikan dan penulisan.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan fakulti dalam memperkukuh literasi digital dan memperkasakan warga akademik dengan pengetahuan semasa berkaitan teknologi AI selaras dengan perkembangan dunia penyelidikan dan pendidikan tinggi masa kini.
Oleh Prof. Madya Dr. Yogeswaran Lokanathan