Faculty of Medicine UKM

Fakulti Perubatan UKM dengan bangganya telah menganjurkan Bengkel Google Certified Educator (GCE) Tahap 2 pada 24 hingga 25 September 2025 bertempat di Ruang Aktiv, Fakulti Perubatan UKM. Bengkel ini menghimpunkan para pensyarah serta tenaga pengajar dalam usaha memperkukuh kemahiran digital melalui penggunaan aplikasi Google for Education selaras dengan keperluan pembelajaran abad ke-21.

Penganjuran bengkel ini bertujuan meningkatkan kemahiran pendidik dalam mengaplikasikan teknologi Google secara lebih efektif dalam pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada pembinaan keyakinan dalam menggunakan alatan digital bagi tujuan pengajaran, pentaksiran serta kolaborasi global. Inisiatif ini juga menyokong hasrat melahirkan pendidik yang memiliki pensijilan antarabangsa, seiring dengan agenda transformasi pendidikan digital universiti.

Seramai 28 orang pensyarah telah berjaya menamatkan bengkel ini dan seterusnya memperoleh pengiktirafan bertaraf antarabangsa sebagai Google Certified Educator Tahap 2. Pencapaian tersebut bukan sahaja membuktikan kompetensi dan komitmen individu dalam memperkasa pedagogi digital, malah turut mengharumkan nama Fakulti Perubatan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di persada global.

Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga fakulti untuk terus melahirkan pendidik yang inovatif, kreatif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran pendidikan era digital.

Sumber: Fakulti Perubatan UKM