Faculty of Medicine UKM

Fakulti Perubatan UKM di China ASEAN AI Expo 2025 ke-22, Nanning, Guangxi, China
 
Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima jemputan rasmi untuk menyertai China ASEAN AI Expo ke-22 yang berlangsung pada 17–21 September 2025 di Nanning, Guangxi, China. Expo tahunan ini merupakan inisiatif Kerajaan Guangxi yang menghimpunkan institusi, syarikat, dan penyelidik bagi memperkenalkan produk serta inovasi terkini dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).
 
Fakulti Perubatan UKM diwakili oleh:
  1. Prof Madya Dr Noor Akmal Shareela Ismail, Penolong Dekan Pengajaran & Citra
  2. Dr Lydia Kamaruzaman – Pensyarah Perubatan dan Pakar Perunding Nefrologi
  3. Dr Lim Chia Hua – Pensyarah Perubatan dan Pakar Perunding Ortopedik dan Trauma
  4. Dr Ahmad Hathim Ahmad Azman – Pensyarah Pelatih Jabatan Pendidikan Perubatan
 
Acara kemuncak Expo ini menyaksikan majlis pertukaran Letter of Intent Projek Penyelidikan AI antara Fakulti Perubatan UKM bersama Hande Sdn Bhd dan Runjian Co Ltd, membuka ruang kerjasama strategik dalam pembangunan serta aplikasi teknologi AI.
 
Selain itu, Prof Madya Dr Noor Akmal Shareela Ismail turut dijemput sebagai penceramah jemputan serta ahli panel forum antarabangsa, membincangkan tema “New Paths for Collaborative Development of China-ASEAN AI Education” pada Program Kemuncak The China (Guangxi)–ASEAN Artificial Intelligence Application Ecosystem Exchange Conference 2025 yang telah berlangsung pada September 18 di Wuxiang Cloud Valley AI Park.
 
Pihak Fakulti Perubatan UKM juga berkesempatan melawat kemudahan AI milik Runjian Co Ltd di Nanning. Lawatan ini membuka ruang perbincangan mengenai potensi pelaksanaan projek AI dalam bidang pendidikan perubatan dan penjagaan kesihatan di hospital.
 
Kehadiran Fakulti Perubatan UKM di pentas antarabangsa ini membuktikan komitmen UKM untuk menjadi peneraju dalam integrasi AI dalam pendidikan perubatan, penyelidikan, dan inovasi global.
 
Sumber: Fakulti Perubatan UKM