
Oleh Dr. Nabil Mohammad Azmi,Pakar Bedah dan Pensyarah,Jabatan Surgeri, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Fakulti Perubatan
Ramai rakyat Malaysia tahu bahawa kolonoskopi mampu menyelamatkan nyawa dengan mengesan kanser usus besar dan rektum pada peringkat awal. Namun, apa yang tidak disedari masyarakat ialah kejayaan prosedur ini bergantung kepada satu perkara yang kelihatan sangat mudah iaitu tahap kebersihan usus sebelum kolonoskopi dilakukan.
Jika usus tidak dibersihkan dengan sempurna, doktor boleh terlepas polip berbahaya dan pesakit mungkin terpaksa mengulangi keseluruhan prosedur.
Menyedari masalah ini, satu pasukan penyelidik dari Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengambil pendekatan lain iaitu menggunakan Kecerdasan Buatan (AI). Kajian mereka menilai sama ada penggunaan model bahasa besar (LLM) berasaskan ChatGPT yang direka khas mampu membimbing pesakit membuat persediaan kolonoskopi dengan lebih baik dan pemerhatian awal menunjukkan potensi yang besar.
Saya telah bekerjasama dengan sekumpulan mahasiswa perubatan untuk merangka, menjalankan dan menerbitkan kajian klinikal ini.
Untuk melaksanakannya, kami perlu mengimbangi inovasi dan keselamatan pesakit, menurut laporan kajian tersebut. Matlamat kajian adalah untuk melihat sama ada AI boleh memberi bimbingan langkah demi langkah dalam bahasa yang mudah dan mesra, seterusnya meningkatkan keyakinan dan pematuhan pesakit.
Projek ini bukan sekadar pencapaian teknologi ia membuktikan bahawa mahasiswa perubatan Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam kemajuan bidang kesihatan.
Para pelajar ini telah melalui keseluruhan proses penyelidikan yakni daripada tinjauan literatur, kelulusan etika, pengumpulan data sehinggalah ke penerbitan.
Walaupun berdepan cabaran, pasukan penyelidikan telah berjaya menyiapkan kajian dan seterusnya menerbit di jurnal sains. Mahasiswa tersebut telah juga memenangi hadiah tempat pertama kategori penyelidikan klinikal di Hari Penyelidikan Mahasiswa Perubatan UKM yang telah diadakan baru-baru ini.
Kajian mendapati bahawa sesi kaunseling menggunakan AI di klinik adalah sama tahap keberkesanannya dengan doktor terlatih. Ini berpotensi mengurangkan beban di klinik kerajaan yang sentiasa sibuk.
Tambahan pula, interaksi dengan AI tidak menjejaskan keselamatan atau meningkatkan kegelisahan pesakit sebelum menjalani prosedur. Malah, tahap kepuasan pesakit lebih tinggi berbanding kumpulan konvensional. Protokol kajian telah diterbitkan dalam jurnal saintifik. Kajian telah pun selesai dan hasil kajian sedang didalam peringkat penulisan untuk dihantar ke jurnal saintifik sebelum diterbitkan.
Bagaimana Kajian Ini Dilaksanakan
Pesakit yang menjalani kolonoskopi dipilih secara rawak untuk menerima sama ada kaunseling daripada doktor atau kaunseling digital melalui chatbot AI berasaskan ChatGPT
Chatbot tersebut memberi panduan tentang perubahan diet, masa pengambilan ubat julap, persediaan mental dan menjawab soalan secara langsung seperti pembantu maya. Apa yang menjadikan kajian ini unik ialah keterlibatan AI didalam aspek perawatan pesakit secara terus.
Walaibagaimanapun, AI ini bukan bermaksud menggantikan tugas doktor, sebaliknya bertindak sebagai ‘rakan digital’ yang membantu mengukuhkan arahan dan menyokong pesakit.
Interaksi ini berlaku secara semula jadi dan mudah difahami. Arahan yang jelas mengurangkan kekeliruan tentang apa yang boleh dimakan atau diminum dan pada masa yang sama, kaunseling digital dapat disampaikan kepada lebih ramai pesakit tanpa menambah beban kerja petugas kesihatan.
Semasa kolonoskopi, doktor menggunakan tiub panjang dengan kamera kecil untuk mencari ketumbuhan dalam usus. Jika usus tidak cukup bersih, kamera tidak dapat melihat dengan jelas — walau sehebat mana pun kepakaran doktor. Ramai pesakit mengalami persediaan yang kurang baik bukan kerana tidak ambil peduli kerana arahan yang diberi mungkin terlalu kompleks untuk difahami. Ada juga yang berasa tidak pasti tentang makanan yang dibenarkan sebelum prosedur.
AI kini sudah menjadi sebahagian daripada landskap penjagaan kesihatan dan potensinya haruslah diteroka. AI tidak bertujuan menggantikan nasihat perubatan manusia, tetapi menyokongnya terutama untuk prosedur kompleks.
Jika kaunseling dibantu AI terus terbukti berkesan, Malaysia mungkin bakal menyaksikan pengurangan senarai menunggu untuk kolonoskopi ulangan, pengesanan kanser usus yang lebih awal dan pesakit yang lebih yakin serta memahami kesihatan mereka sendiri.
Pasukan penyelidik berharap teknologi ini dapat diperluas kepada prosedur lain termasuk telesurgeri dan kaunseling perubatan pelbagai tahap.
Sumber: Berita UKM