Fakulti Perubatan UKM

Berita Alumni

Hi Alumni! 2.0 2025 – Inspired by the Past, Driven for the Future
 
Program Hi Alumni! 2.0 2025 anjuran Persatuan Mahasiswa/i Fakulti Perubatan (PERSIAP) UKM dengan kerjasama Persatuan Doktor Perubatan UKM telah berlangsung dengan jayanya pada 8 November 2025 di Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan UKM. Dengan kehadiran 150 peserta dari kalangan mahasiswa Fakulti Perubatan UKM, majlis ini menyatukan alumni dan pelajar dalam perkongsian ilmu, pengalaman, dan inspirasi.
 
Majlis perasmian yang dirasmikan oleh Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Dekan Fakulti Perubatan UKM, turut diserikan dengan perkongsian hebat oleh tokoh-tokoh ternama dalam bidang perubatan. Antara panel yang hadir adalah Dr. Azizan Abdul Aziz (Mantan Presiden MMA), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Syed Mohamed Aljunid (Presiden & CEO Casemix Solutions), Dato’ Dr. Ruszymah Idrus (Penasihat Kehormat TESMA), dan Dato’ Dr. Jahizah Hassan (Pengerusi MSA).
 
Kejayaan program ini adalah hasil kerjasama padu antara alumni, mahasiswa, dan barisan urus setia. Semoga semangat yang diterapkan dalam program ini menjadi pemangkin untuk generasi doktor yang berintegriti, berdedikasi, dan siap menghadapi cabaran masa depan.
 
Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini!

BICARA ALUMNI FPER 2025

Pada 12 Oktober 2025, Dewan Kuliah 2, Fakulti Perubatan UKM telah menjadi saksi kepada pertemuan istimewa antara generasi pelajar perubatan dengan para alumni Fakulti Perubatan UKM. Program anjuran Persatuan Mahasiswa/i Fakulti Perubatan (PERSIAP) ini dirasmikan oleh Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Dekan Fakulti Perubatan UKM, dan berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta daripada pelbagai tahun pengajian dalam suasana penuh inspirasi dan semangat kekitaan. Terdapat 3 sesi forum yang diadakan iaitu forum perubatan, forum surgeri dan forum sokongan klinikal.

Diketuai oleh Dr. Marhisham Che Mood bersama alumni kumpulan 1995/2000, sesi perkongsian ini membuka ruang buat pelajar mengenali realiti dunia kerjaya sebagai doktor serta cabaran sebenar dalam bidang perubatan. Pengalaman dan nasihat berharga yang dikongsi bukan sahaja memberi motivasi, tetapi turut menyemarakkan keyakinan diri dalam menempuh perjalanan profesional yang mendatang.

Tahniah kepada seluruh jawatankuasa pelaksana Bicara Alumni FPer 2025 atas kejayaan penganjuran ini! Semoga hubungan erat antara alumni dan mahasiswa terus kukuh, dan Fakulti Perubatan UKM terus melahirkan doktor beretika, berjiwa masyarakat dan berintegriti tinggi.

HI ALUMNI PRE-EVENT 2025

Pada 11 Oktober 2025, program Hi Alumni 2.0 Pre-Event telah berjaya dilaksanakan di Diastole Café, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, sebagai inisiatif untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara alumni dan warga Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini berlangsung dalam suasana santai namun penuh makna, dengan penglibatan aktif para alumni dan pelajar.

Acara tersebut menampilkan sesi panel istimewa bersama dua tokoh alumni cemerlang, Dato’ Dr. Ruszymah Idrus, pengasas kepada Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif UKM, serta Dr. Aminuddin Saim, pakar ENT terkemuka di sektor swasta. Kedua-dua panelis telah berkongsi pengalaman, cabaran serta pandangan bernas mengenai perkembangan bidang perubatan dan penyelidikan masa kini.

Perkongsian tersebut bukan sahaja memberikan inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan profesional, malah mengukuhkan rasa bangga terhadap pencapaian alumni UKM yang menjadi peneraju dalam dunia perubatan dan sains kesihatan.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Diharapkan program seperti Hi Alumni Pre-Event dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh jaringan profesional antara alumni dan fakulti, serta memperkasa komuniti perubatan UKM secara keseluruhannya.

Malam Amal & Apresiasi Alumni Perubatan UKM anjuran Batch 2000 telah berlangsung dengan penuh gemilang dan berjaya menghimpunkan hampir 370 orang alumni dalam satu majlis yang penuh dengan nilai kekeluargaan, nostalgia, serta semangat alma mater yang utuh.
 
Lebih daripada sekadar pertemuan, malam ini menjadi simbol keprihatinan dan komitmen warga alumni terhadap pembangunan serta kebajikan mahasiswa perubatan UKM. Dalam majlis penuh makna ini, para alumni turut menzahirkan sokongan mereka melalui sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Mahasiswa Fakulti Perubatan (PERSIAP) sebagai tanda sokongan kepada usaha memperkasakan aktiviti, kebajikan dan kecemerlangan pelajar.
 
Majlis ini telah dirasmikan oleh Prof. Emeritus Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti. Turut hadir memeriahkan majlis Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor (Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid (Pro Naib Canselor UKM Kampus KL) , Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki (Dekan Fakulti Perubatan), Dato’ Dr. Azmi Baharudin (Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz), Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap (Pengarah Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM), Dr. Azman Mohd Nor (Naib Presiden Persatuan Doktor Perubatan), Dr. Marhisham Che Mod (Pengerusi Malam Amal & Apresiasi Alumni Perubatan UKM).
 
Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran seramai 106 orang mantan pensyarah Fakulti Perubatan UKM, yang bersama-sama alumni mengenang jasa, perjalanan, dan warisan ilmu yang telah membentuk generasi demi generasi warga perubatan UKM.
 
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada semua alumni yang hadir, menyumbang dan menjayakan malam yang bersejarah ini. Semoga semangat kebersamaan ini terus subur dan menjadi inspirasi kepada generasi perubatan UKM pada masa hadapan.
Pada Majlis Anugerah Sanjungan Kencana 2025, Fakulti Perubatan telah menobatkan Datuk Dr. Nor Fariza Binti Ngah sebagai penerima anugerah Alumni Tersohor Fakulti Perubatan 2025. Anugerah ini diberikan kepada seorang alumni di atas kejayaan dan pencapaiannya di dalam kerjaya. Datuk Dr. Nor Fariza Binti Ngah adalah seorang Pakar Oftalmologi terlatih yang memperoleh Ijazah Doktor Perubatan pada 1991 dan Ijazah Sarjana Surgeri (Oftalmologi) pada 1998 dari Fakulti Perubatan UKM.
 
Beliau yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pernah berkhidmat sebagai Perunding Kanan Pakar Oftalmologi di Hospital Selayang dan telah menjawat jawatan sebagai Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia dari 2014 hingga 2023. Beliau turut menyandang jawatan Presiden Kolej Pakar Oftalmologi Malaysia dari 2018 hingga 2023.
 
Semasa berkhidmat sebagai Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kebangsaan, beliau telah memimpin penubuhan pusat retina termaju di hospital-hospital KKM, dengan memperkenalkan teknologi terkini untuk rawatan termasuk penggunaan AI dalam rawatan penyakit mata.

Majlis Makan Malam Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan Kecemasan telah diadakan pada 21 Jun 2025. Bertempat di Bangi Resort Hotel, majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan pelajar Tahun Akhir, malah turut menghimpunkan barisan pensyarah, staf pentadbiran, pelajar pelbagai tahun dan alumni dalam suasana penuh mesra dan harmoni.

Kehadiran alumni dari pelbagai latar belakang termasuk Penolong Pegawai Perubatan, Paramedik berpengalaman, dan penyelidik dalam bidang kesihatan kecemasan telah memberikan inspirasi serta suntikan semangat kepada pelajar-pelajar yang masih dalam pengajian. Interaksi dua hala ini membuka ruang perkongsian pengalaman, panduan kerjaya serta sokongan moral yang amat bermakna kepada graduan dan pelapis muda program.

Melalui penglibatan alumni yang proaktif ini, majlis makan malam telah menjadi lebih daripada sekadar acara penghargaan. Ia adalah satu pertemuan lintas generasi yang menyuburkan nilai kebersamaan, membina jaringan profesional dan mengekalkan identiti kukuh warga Sains Perubatan Kecemasan UKM.

Secara keseluruhannya, majlis ini telah mencapai objektif utamanya iaitu meraikan kejayaan, mempererat ukhuwah dan membina kenangan abadi. Diharapkan agar acara ini terus menjadi tradisi tahunan yang menyatukan warga program dalam semangat yang sama iaitu semangat kecemasan yang cekal, bersatu dan sentiasa bersedia.

Fakulti Perubatan UKM merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada para Alumni Perubatan UKM yang telah bermurah hati menaja sebanyak RM 90,000 bagi program Iftar Ramadhan 1446 H. Penajaan iftar sepanjang Ramadhan yang merupakan aktiviti tahunan ini memberi manfaat kepada 300 pelajar terpilih yang menetap di Kolej Tun Dr. Ismail UKM.
 
Fakulti Perubatan UKM turut mengucapkan ucapan ribuan terima kasih kepada pihak pentadbiran Kolej Tun Dr. Ismail atas kesudian bekerjasama dalam menjayakan usaha ini. Proses agihan makanan dijalankan dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa/i Perubatan UKM (PERSIAP) dan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) Kolej Tun Dr. Ismail UKM.
 
Semoga usaha murni ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang dan semoga setiap sumbangan akan di balas Allah dengan ganjaran yang sebaik-baiknya.

Fakulti Perubatan UKM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (FPER 1989), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di atas pengurniaan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (S.M.W.) yang membawa gelaran Datuk Seri oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2025 dalam Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada 7 Mac 2025 (Jumaat).

Kami berbangga dengan alumni UKM!

Fakulti Perubatan UKM mengucapkan tahniah kepada YBhg. Prof. Dr. Azizi Ayob (Alumni Fakulti Perubatan UKM Tahun 1997) atas kejayaan menjuarai Innovathon 2.0.

Fakulti Perubatan UKM mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr. Shaiful Azmi Yahaya (Alumni Fakulti Perubatan UKM Tahun 1994 & 2001) atas pelantikan.