Majlis Makan Malam Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan Kecemasan telah diadakan pada 21 Jun 2025. Bertempat di Bangi Resort Hotel, majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan pelajar Tahun Akhir, malah turut menghimpunkan barisan pensyarah, staf pentadbiran, pelajar pelbagai tahun dan alumni dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
Kehadiran alumni dari pelbagai latar belakang termasuk Penolong Pegawai Perubatan, Paramedik berpengalaman, dan penyelidik dalam bidang kesihatan kecemasan telah memberikan inspirasi serta suntikan semangat kepada pelajar-pelajar yang masih dalam pengajian. Interaksi dua hala ini membuka ruang perkongsian pengalaman, panduan kerjaya serta sokongan moral yang amat bermakna kepada graduan dan pelapis muda program.
Melalui penglibatan alumni yang proaktif ini, majlis makan malam telah menjadi lebih daripada sekadar acara penghargaan. Ia adalah satu pertemuan lintas generasi yang menyuburkan nilai kebersamaan, membina jaringan profesional dan mengekalkan identiti kukuh warga Sains Perubatan Kecemasan UKM.
Secara keseluruhannya, majlis ini telah mencapai objektif utamanya iaitu meraikan kejayaan, mempererat ukhuwah dan membina kenangan abadi. Diharapkan agar acara ini terus menjadi tradisi tahunan yang menyatukan warga program dalam semangat yang sama iaitu semangat kecemasan yang cekal, bersatu dan sentiasa bersedia.


