MINDA-UKM

Krisis di Asia Barat: Implikasi Ekonomi, Apa Langkah Malaysia?

Dunia kini berdepan gangguan bekalan tenaga terbesar dalam sejarah, dengan harga minyak Brent mencecah USD110 setong dan Selat Hormuz yang semakin terhimpit. Walaupun Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.2% pada tahun 2025, naratif “daya tahan” kini diuji oleh kitaran pertumbuhan pasca-pandemik yang semakin pendek dan mengecil. Kita tidak lagi boleh selesa; status sebagai pengeksport bersih tenaga kian rapuh berikutan penurunan berterusan eksport gas, sementara pergantungan import makanan yang tinggi mendedahkan rakyat kepada siri kejutan inflasi yang tidak menentu.

Mendedah realiti ini, program Bicara Persada – Krisis Asia Barat: Implikasi Ekonomi, Apa Langkah Malaysia? di Bilik Senat, UKM Bangi telah membedah strategi transisi negara daripada reaktif kepada tangkas data. Program ini merupakan anjuran bersama MINDA UKM, Malaysian Institute of Economic Research (MIER), dan Ungku Aziz Centre for Development Studies (UAC, Universiti Malaya). Perbincangan yang dikendalikan oleh moderator Tuan Haji Nazri Kahar ini menampilkan analisis mendalam daripada Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali (Pengarah MINDA-UKM), En. Firdaos Rosli (Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group), Dr. Chin Chee Seong (Presiden Kebangsaan SME Association of Malaysia), dan En. Ooi Lean Hin (Pengerusi Malaysian Shipping Association). Perbincangan memberi amaran keras bahawa penutupan Selat Hormuz bukan sekadar isu geopolitik, tetapi “kejutan fizikal” yang mampu mencetuskan panik dalam aliran tunai PKS dan pasaran bon negara.

Langkah ke hadapan menuntut keberanian dasar yang luar biasa, melangkaui sekadar pelarasan subsidi Budi95 atau SKDS 2.0. Malaysia mesti bersedia menghadapi senario “perang berpanjangan” yang bakal menekan keluk hasil MGS dan mengganggu kecairan korporat melalui renjatan eksport E&E. Persoalan utamanya bukan lagi tentang daya tahan, tetapi kepantasan respon terhadap persekitaran global yang kian retak. Jika kita gagal bertindak secara bersepadu sekarang, risiko “perangkap fiskal” dan kelembapan ekonomi yang mendalam bukan lagi satu kemungkinan, tetapi satu kepastian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *