Sistem pendidikan Bumiputera hari ini berada di persimpangan kritikal. Jati diri, akhlak dan daya saing generasi muda sedang diuji. Walaupun pelbagai dasar dan institusi telah diwujudkan termasuk penekanan tinggi terhadap pendidikan Islam, jurang antara aspirasi pendidikan dan realiti lapangan masih nyata. Fenomena kelemahan disiplin, keruntuhan akhlak serta kegagalan pelajar memahami makna ilmu dan iman menimbulkan persoalan mendasar: apakah sistem pendidikan kita mampu membentuk generasi unggul yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing?
Hari ini, MINDA Policy Roundtable (MPR) mempertemukan pemimpin dan pemikir pendidikan dipimpin oleh YBrs. Dr. Anuar Ahmad bersama panel pembentang iaitu Ustaz Fauzi Asmuni dan Puan Zaliza Alias. Perbincangan yang dianjurkan secara bersama dengan Gabungan Nasionalis turut dihadiri oleh wakil kementerian, pakar pendidikan, yayasan dan pembuat dasar. Perbincangan meneliti setiap aspek pendidikan Bumiputera secara kritikal dari prasekolah hingga institusi tinggi, dari modul hingga metodologi pengajaran, dengan fokus utama: bagaimana ilmu dan nilai Islam dapat diterapkan secara efektif untuk membina jati diri pelajar sejak awal lagi.
Kesimpulannya jelas: masa untuk bercakap telah berlalu. Pendidikan Bumiputera memerlukan kepimpinan yang berani, inovasi yang berterusan dan kolaborasi strategik antara semua pihak. Hanya melalui pendekatan holistik dan kritikal kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berakhlak mulia, berdaya saing dan bersedia memimpin masyarakat ke arah kecemerlangan sejagat.