Bicara Persada anjuran Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia – UKM menghimpunkan wacana tajam tentang makna sebenar reformasi pendidikan dalam konteks Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035. Reformasi tidak boleh difahami sekadar sebagai peluasan struktur atau penyusunan semula tempoh persekolahan, tetapi perlu dilihat sebagai perubahan menyeluruh pada falsafah sistem, reka bentuk pelaksanaan serta keberhasilan pembelajaran. Dalam kerangka tersebut, RPN dirumuskan lebih sebagai agenda penambahbaikan berperingkat berbanding transformasi struktural yang radikal.
Perbincangan yang menampilkan Tn. Hj. Aminuddin Bin Awang, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP Malaysia), Dr. Anuar Ahmad (Timbalan Pengarah MINDA-UKM) serta Puan Zaliza Alias, (Pengasas dan Pengarah Eksekutif GAINS Education Group) dan dikendalikan oleh Tn. Nazri Kahar, Editor Kanan Astro AWANI, memberi tumpuan khusus kepada dimensi fiskal dan keberkesanan sistem. Malaysia memperuntukkan sebahagian besar belanjawan tahunan kepada sektor pendidikan, namun komposisi perbelanjaan masih banyak tertumpu kepada emolumen dan komitmen operasi. Dalam konteks ini, persoalan kecekapan kos serta pulangan terhadap pelaburan awam menjadi semakin penting. Isu kekosongan jawatan guru, beban tugas yang menjejaskan fokus pedagogi serta cabaran literasi dan minat terhadap aliran sains tulen memperlihatkan bahawa cabaran utama bukan sekadar jumlah peruntukan, tetapi keberkesanan reka bentuk dan pelaksanaan dasar.
Tuntasnya, Rancangan Pendidikan Negara (RPN) merupakan satu kerangka dasar yang signifikan dan berpotensi besar untuk memperkukuh sistem pendidikan negara. Ia boleh menjadi asas kepada pembaharuan yang lebih menyeluruh sekiranya dilaksanakan secara konsisten, berfasa serta berlandaskan data dan bukti. Dengan memenuhi prasyarat tersebut, RPN berupaya berkembang sebagai instrumen yang lebih berimpak dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara, di samping memperkukuh kesiapsiagaan generasi masa hadapan untuk menghadapi cabaran pasca 2035.
MINDA-UKM merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir dan menyumbang pandangan, khususnya para pembuat dasar, wakil kementerian, persatuan ibu bapa, guru, akademia dan mahasiswa atas sumbangan bermakna yang memperkukuh kualiti wacana ini.