Ramadan tidak sekadar hadir sebagai musim ibadah, tetapi sebagai detik yang menggoncang kesedaran dan meluruskan kembali arah jiwa. Semangat inilah yang mendasari Tazkirah Ambang Ramadan bertajuk “Ramadan: Persediaan Hati, Bukan Hanya Jasmani” yang berlangsung pagi tadi secara fizikal dan atas talian bersama Dr. Abdull Rahman Mahmood (Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM). Perkongsian beliau menegaskan bahawa Ramadan ialah madrasah pembinaan dalaman; menyusun disiplin rohani, memperbetulkan niat kepimpinan dan memperkukuh integriti dalam setiap gerak kerja berpasukan. Di tengah arus kesibukan dunia dan tuntutan besar membangunkan negara, MINDA UKM tidak pernah memisahkan agenda pembangunan daripada pembinaan iman.
Strategi tanpa jiwa akan kehilangan makna dan pencapaian tanpa reda Tuhan akan hilang keberkatannya. Ramadan mengingatkan bahawa kekuatan institusi tidak hanya terletak pada kepakaran dan perancangan, tetapi pada hati yang bersih, amanah yang terpelihara dan keikhlasan yang tersembunyi namun dinilai Allah SWT. Semoga peringatan ini memperteguh komitmen kita untuk membina kecemerlangan yang bukan sahaja berimpak dan berwibawa, tetapi juga diberkati dan diredhaiNya.