MINDA-UKM

Youth Leadership Dialogue 2026: AI Future Readiness “Empowering Malaysia’s Next Generation for an AI-Driven Economy”

Kecerdasan Buatan (AI) bukan sekadar evolusi teknologi, tetapi gelombang transformasi yang sedang merombak sistem saraf ekonomi, pendidikan dan kedaulatan negara secara radikal. Dalam persekitaran V.U.C.A yang serba tidak menentu, cabarannya bukan lagi soal adaptasi teknikal semata-mata, tetapi soal kepimpinan nilai. Tanpa kepimpinan belia yang kritis, beretika dan berwawasan, AI berisiko menjadi jurang baharu yang menghakis kemanusiaan serta memperdalam ketidaksaksamaan sosial. Justeru, program anjuran UKM GSB – Graduate School of Business Dan MINDA UKM ini merupakan manifestasi komitmen strategik untuk memastikan generasi pelapis tidak sekadar menjadi pengguna pasif teknologi, sebaliknya tampil sebagai arkitek yang mencorak hala tuju ekonomi digital Malaysia secara bermaruah dan berdaulat.

Dialog berimpak tinggi ini diserikan dengan ucaptama oleh YAM Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz, Felo Diraja UKM, serta kehadiran YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia – UKM, bersama barisan pemegang taruh, para akademia dan mahasiswa dari dalam serta luar negara. Dalam sesi dialog utama bertajuk “Future-Ready Nations: National Strategy for Competitiveness in the AI Age”, Pengarah MINDA-UKM, YBhg. Professor Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, menegaskan kepentingan kedaulatan AI dan jaminan infrastruktur tenaga mampan sebagai teras daya saing nasional. Penekanannya jelas bahawa Malaysia mesti memperkukuh kemandirian teknologi agar tidak terus terperangkap dalam ketergantungan strategik terhadap kuasa luar.

Platform ini menyatukan suara mahasiswa, pembuat dasar dan pakar industri untuk mencerna idea besar yang bakal menentukan arah tuju negara. Kita berada di persimpangan sejarah sama ada memimpin perubahan atau sekadar menjadi pengguna dalam ekosistem algoritma global. Memperkasa belia untuk ekonomi dipacu AI bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan mendesak negara. Melalui sinergi ini, kita sedang membina ekosistem yang meletakkan manusia sebagai pusat kemajuan teknosains demi menjamin kemakmuran inklusif yang berteraskan kecerdasan akal dan keluhuran budi untuk Malaysia yang lebih berdaulat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *