Setiap Keluarga Harus Boleh Mendapat Rawatan Autisma

ISNIN, 28 APRIL 2014 08:37

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 22 Apr 2014 – Semua keluarga di negara ini perlu diberi peluang untuk mendapat penjagaan kesihatan yang berpatutan serta berkualiti bagi menangani masalah penyakit mental autisma yang dialami anak mereka.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata mereka juga perlu menerima nasihat dari penyelidik, penggubal dasar, pendidik dan penjaga yang merangkumi pelbagai isu termasuk melatih kakitangan mahir seperti pakar psikiatri, ahli psikologi, doktor kanak-kanak serta ahli terapi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Seminar Antarabangsa Mengenai Autisma Malaysia 2014 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Autisme Speaks di sini hari ini. Rosmah berkata pendidik dan doktor perlu memahami dan memberi sokongan bagi membolehkan kanak-kanak autisma dapat hidup secara terbaik walaupun dilanda keadaan demikian.

Rosmah adalah penaung seminar itu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ibu bapa kanak-kanak autisma perlu diberi sokongan untuk menggalakkan anak-anak mereka itu mencapai potensi penuh mereka.

Beliau berkata kadar kelaziman autisma yang dilaporkan di negara-negara membangun mungkin disebabkan kejahilan atau kekurangan kesedaran terhadap penyakit itu berbanding kadar kelaziman autisma hanya sebanyak 1% di Eropah dan Amerika Syarikat.

Penyelidik mendapati lebih daripada satu daripada tiga orang dewasa yang menghidapi Gangguan Spektrum Autisma (ASD) tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran atau bekerja selama enam tahun pertama selepas selesai sekolah menengah.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan dan isteri Datin Seri Noorainee Abdul Rahman.

Seminar dua hari itu membincangkan pelbagai topik mengenai autisma termasuk penyediaan perkhidmatan, pengesanan awal dan diagnosis, kaedah campur tangan awal serta amalan terbaik menangani ASD. Ia bertemakan ‘Autisma bukan Tragedi, Kejahilan Mengenainya Adalah Tragedi’. Ia dianjurkan Program Permata yang dinaungi Rosmah.

Beliau berterima kasih dengan Wanita-wanita Pertama Sudan, Sri Lanka, Republik Kyrgyz, Albania dan Maghribi kerana sedia melapangkan masa untuk menghadiri seminar itu dan berkongsi pengalaman mereka mengenai autisma dalam slot khas “Suara Wanita Pertama”.