100 Sukarelawan UKM Bantu Mangsa Banjir di Johol


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 19 Mei 2022 – Seramai 100 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) digerakkan bagi membantu mangsa banjir di Johol, Negeri Sembilan.

Misi yang membabitkan sukarelawan dari persatuan pelajar iaitu Kelab Sukarelawan Siswa (KSS) dan Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (PERMANIS) itu dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin.

Menurutnya, warga Johol telah dilanda bencana banjir pada 15 dan 16 Mei yang telah memberi kesan kepada hampir 210 keluarga yang melibatkan kemusnahan harta benda persendirian dan harta benda awam.

“Menjadi tanggungjawab kita sebagai sebuah universiti untuk menyantuni masyarakat serta membantu mereka yang berada dalam kesusahan dan ditimpa musibah di seluruh negara.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua sukarelawan yang terlibat. Semangat sukarelawan yang ditunjukkan oleh semua pelajar merupakan satu nilai yang amat berharga terutama sekali apabila melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.

Mangsa banjir menerima sumbangan keperluan asas daripada pasukan Misi Bantuan Kasih 10.0 Pusat Perhubungan Alumni dan khidmat pembersihan kepada mangsa banjir daripada pasukan sukarelawan pelajar dan kakitangan.

Misi tersebut digerakkan melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan, Industri, Alumni dan Masyarakat) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Pusat Perhubungan Alumn, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Islam, Unit Zakat, Unit Kenderaan dan Pejabat Bendahari.