14 ekor lembu dikorbankan sempena Ibadah Korban UKM


Oleh Radzuan Ghazali
Foto Muhammad Izwan Azman

Bangi, 13 Ogos 2019 – Sebanyak 14 ekor lembu dikorbankan sempena Majlis Ibadah Korban dan Akikah 1440H/2019 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlangsung di Perkarangan Masjid UKM, Bangi.

Daripada jumlah itu, seekor lembu adalah sumbangan dari Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.  Majlis penyembelihan dan pelapahan semua lembu berkenaan dihadiri oleh Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Ir Dr Othman A. Karim, Pro-Naib Canselor selaku Pengerusi Jawatankuasa Ibadah Korban dan Akikah UKM, Prof Dr Ishak Yusof, Pengarah Eksekutif Pentadbiran, Dr Ina Md Yasin,  Pengarah Pusat Islam, Dr Abdull Rahman Mahmod dan mantan Naib Canselor, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Seramai 20 penduduk orang Asli dari Kampung Sungai Buah turut menerima daging korban yang disumbangkan oleh pihak UKM.

Prof Ir Dr Othman dalam ucapannya menyeru staf UKM supaya mengambil iktibar daripada pengorbanan Naib Ibrahim ke atas anaknya Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan anaknya demi patuh kepada perintah Allah S.W.

Katanya, perkara yang mulia wajar diikuti supaya semua kakitangan UKM dapat membangunkan dan menaikkan UKM ke tahap yang tinggi untuk kebaikan semua pihak bagi manfaat bersama.

Saya yakin, warga UKM akan berupaya menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya bagi kejayaan dan kegemilangan universiti tempat kita bertugas, katanya.