Anugerah Kecemerlangan MyRA® Serlah Status UKM Universiti Penyelidikan


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan hashim

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ingin menyemarakkan lagi Malaysia Research Assessment (Myra®) bagi setiap warga akademiknya untuk mengekalkan status universiti sebagai Universiti Penyelidikan, kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad.

Berucap di Anugerah Kecemerlangan MyRA® UKM, beliau berkata bahawa kecemerlangan ini secara langsung akan memberikan sumbangan yang amat besar dalam meningkatkan kejayaan penyelidikan dan inovasi UKM ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sepanjang 14 tahun UKM memegang status Universiti Penyelidikan, majlis Anugerah Kecemerlangan MyRA® berjaya dilakukan selama dua kali dan insyaAllah akan diteruskan dan menjadi platform utama dalam mengiktiraf aktiviti penyelidikan dan inovasi.

“Semoga penganjuran majlis ini akan terus meningkatkan motivasi dan semangat semua pihak untuk menyumbang kepada kecemerlangan MyRA®.

“Saya berharap aktiviti penyelidikan dan inovasi UKM akan terus cemerlang dan terbilang di persada negara dan antarabangsa,” katanya.

Majlis anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM) ini memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada 30 orang penyelidik (Kategori Individu), 10 orang penyelidik (Kategori Anugerah Khas), dan 12 buah PTJ (Kategori PTJ), serta 300 orang penyelidik.