Berita Ringkas Menarik Lebih Ramai Remaja Ke Akhbar Sesawang: Penyelidikan

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Saiful Bahri Kamaruddin

Web PortalsBANGI, 11 Februari 2015 – Laman Berita Sesawang perlu menampilkan laporan ringkas serta berita terkini untuk menarik lebih ramai pembaca terutama di kalangan golongan muda.

Seorang penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Tan Kim Hua berkata sesetengah portal berita dan laman sesawang perlu mengkaji semula susun atur laporan dan artikel mereka untuk memenuhi tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Bercakap kepada Portal Berita UKM di Karnival-Novasi Pengajaran dan Pembelajaran di sini hari ini, Dr Tan berkata satu daripada penemuannya yang paling menarik adalah ramai pembaca tidak suka membaca laporan panjang yang melebihi paparan muka komputer hingga mereka perlu menatal ke bawah.

Dalam kertas penyelidikannya bertajuk ‘Pembacaan Cekap Laluan Maya di Akhbar Sesawang Malaysia’, Dr Tan mendapatkan pandangan sekitar 100 orang pelajar berusia antara 22 dan 30 tahun dengan menggunakan alat-alat pengesanan mata untuk mengetahui bahagian mana yang mereka lebih perhati dalam halaman sesawang yang mereka buka.

Beliau mendapati mereka lebih berminat untuk membaca beberapa perenggan pertama selepas tajuk utama dan intro laporan setelah mereka klik pada tajuk berita. Mereka tidak mahu tatal ke bawah sepenuhnya, tetapi telah bertukar kepada laporan yang lain atau terus meninggalkan portal itu walaupun terdapat beberapa artikel lain yang menarik.

Pembaca itu juga menghabiskan masa yang lebih lama pada portal berita yang memuatkan banyak berita terkini atau berita kilat. Mereka seolah-olah lebih meminati berita ringkas dan terkini. Mereka juga lebih gemar melihat gambar dan membaca kapsyen tetapi kurang tertarik dengan iklan atau ‘banner’, kata pensyarah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu.

Pada asasnya, apa yang Dr Tan dapati daripada pembaca pintar adalah pergerakan mata dari banner ke tajuk-tajuk utama, yang menunjukkan bahawa mereka mengutamakan kandungan berita daripada iklan:

1.  Banner (bahagian atas)
2.  Laporan Utama / Headline
3.  Berita Ringkas (ruang kiri )
4.  Berita Terkini (ruang kanan)
5.  Iklan
6.  Video YouTube

Bagi pembaca yang kurang pintar, terdapat kecenderungan untuk mula dengan banner di atas – walaupun ia tidak mengandungi apa-apa berita – dan bergerak ke bahagian bawah dan dari kiri ke kanan, secara automatik tanpa memberi perhatian kepada isi kandungan.

Beliau percaya beberapa portal berita tidak dilayari kerana susunan laporan mereka tidak sesuai dengan cita rasa pembaca alam maya masa kini yang cenderung mengimbas laporan dengan cepat dan akan keluar dari imbasan jika mereka tidak suka susunan halaman sesuatu sesawang.

Dalam kajiannya menyiasat tingkah laku subjek semasa membaca akhbar dalam talian, Dr Tan mendapati minat yang lebih terhadap ‘The Malay Mail’ dan ‘Malaysia Kini’ dari kalangan portal berita Bahasa Inggeris. Beliau bagaimanapun sedar terdapat sebab-sebab lain kenapa pembaca lebih tertumpu kepada portal-portal tersebut.

Kajiannya itu tidak sahaja untuk mengesan gerak mata tetapi peserta juga dikehendaki menjawab ujian mengenai apa yang mereka faham dari laporan yang dibaca. Terdapat hubungan langsung antara kepintaran pembaca dan markah ujian.

Beliau membuat kesimpulan bahawa kebanyakan pembaca adalah ‘pembaca editorial’ yang lebih gemar kepada laporan lidah pengarang dan tidak kepada berita biasa. Dr Tan juga mendapati pembaca pintar cenderung membaca dalam corak bentuk ‘L’ dan kurang memberi keutamaan kepada gambar dan iklan.

Selain dari menyediakan kandungan yang relevan, kemudahan untuk memasuki laman web interaktif adalah penting untuk menarik pembaca, tambah beliau.

Susun atur, alat navigasi, format dan gaya tajuk utama adalah penting untuk mewujudkan persekitaran mesra pembaca  laman sesawang. Selain itu, penempatan pautan dan iklan yang mudah di paut adalah juga penting.

Akhbar dalam talian Malaysia biasanya berbentuk seperti ini: tajuk utama, berita utama, ruangan berita, ruangan laporan dan pautan iklan.

Dr Tan mengajar struktur e-Pembelajaran dan Linguistik, termasuk Tatabahasa, Fonologi, Lexicon dan Semantik di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik.
ukmnewsportal-bm