Buku Kelulut: Antioksidan dan Tekanan Oksidatif Ketengahkan Penyelidikan Lebah Kelulut

Oleh Asmahanim Amir

Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 23 Disember 2020 – Penyelidikan lebah kelulut yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Razinah Sharif @ Mohd Sharif dari Fakulti Sains Kesihatan telah dibukukan bagi memberi informasi kepada penternak lebah kelulut dan orang ramai berkenaan produk hasilan lebah dan lebah kelulut.

Buku bertajuk Kelulut: Antioksidan dan Tekanan Oksidatif setebal 106 muka surat itu adalah kolaborasi strategik antara UKM dengan Bayu Gagah Marketing (M) Sdn Bhd (Bayu Kelulut) sejak 2016 bagi menghasilkan madu kelulut asli untuk kajian saintifik.

Menurut Prof. Madya Dr. Razinah, buku itu dihasilkan bagi memudahkan peminat lebah dan lebah kelulut kerana penulisannya mudah difahami, selain mempunyai data dari kajian saintifik beliau.

“Kumpulan penyelidikan kami telah berjaya mendapat geran dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk dana penyelidikan berkaitan madu kelulut. Beberapa artikel akademik berkenaan penyelidikan ini telah diterbitkan, namun masih ada kemahuan penyelidik untuk menjadikan dapatan kajian ini sebagai buku mudah untuk pembaca.

“Jadi, buku ini dihasilkan bagi membolehkan pembaca memahami khasiat madu secara umumnya dari konteks sains kesihatan dan seterusnya mendapat ilmu berkaitan produk hasilan lebah kelulut iaitu madu dan propolis serta kesannya sebagai pelindung kepada tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif yang tidak terkawal boleh menjurus kepada penyakit kronik seperti kanser, obesit, jantung dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, walaupun kajian tersebut dilakukan dalam model kultur sel, namun dapatan kajian dari projek itu amat positif dan memberangsangkan.

“Ujian klinikal madu masih dalam perancangan. Ujian klinikal amat perlu bagi menyokong dapatan kajian awal kerana testimoni sahaja tidak cukup bagi menyokong ‘claim’ madu ini.

UKM mempunyai kemudahan infrastruktur terbaik bagi menjalankan analisis penyelidikan dan menyokong usaha penyelidik bagi menghasilkan penyelidikan bermutu tinggi,” katanya.

Prof. Madya Dr. Razinah yang merupakan Ketua Makmal Bioserasi UKM berkata buku tersebut menceritakan tentang madu yang dijadikan sebagai makanan tambahan dan penulisan turut membincangkan dapatan kajian dari madu dari hasilan lebah kelulut dan khasiatnya sebagai antioksidan.

“Pembaca juga akan didedahkan dengan beberapa konsep asas dalam antioksidan seperti radikal bebas, tekanan oksidatif, kerosakan DNA dan kerosakan oksidatif. Selain madu, propolis hasilan kelulut juga dibincangkan dalam buku ini.

“Dalam bab terakhir, pembaca diberikan cara untuk mengisi soalan berkaitan produk hasilan madu kelulut sebagai salah satu platform pembaca untuk mendekatkan mereka dengan penyelidik di universiti,” jelasnya.

Katanya, dikala pandemik COVID-19 melanda dunia, antioksidan juga penting bagi meningkatkan imuniti tubuh. Jadi madu kelulut merupakan salah satu alternatif yang boleh dijadikan amalan untuk membantu tubuh manusia dalam menghadapi pandemik COVID-19 terutamanya bagi warga emas.

Beliau berharap agar buku Kelulut: Antioksidan dan Tekanan Oksidatif dapat membantu pembaca memahami konsep asas dalam sains kesihatan dan memahami potensi sebenar produk hasilan lebah kelulut.

“Penambahan ilmu ini diharap dapat menyumbang kepada asas penyelidikan berkaitan lebah kelulut di Malaysia dan diharapkan dengan potensi lebah kelulut Malaysia, ia dapat dikembangkan ke luar negara untuk menjadi bahan eksport utama dan komoditi utama Malaysia.

“Jika di barat ada acai berry dan blue berry yang dikenali sebagai superfood, kelulut juga berpotensi dibangunkan sebagai superfood lokal,” katanya.

Lebah kelulut yang merupakan spesies lebah tidak berbisa menjadi sebutan sejak projek besar-besaran berkenaan penternakan kelulut dilancarkan pada tahun 2012 oleh Institut Penyelidikan dan Kamajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan dalam Pelan Pembangunan Industri Kelulut Negara 2020-2030.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata kerjasama penyelidikan antara industri dan penyelidik amat digalakkan bagi menyahut seruan kerajaan untuk model triple helix iaitu kerajaan, industri dan komuniti.

“UKM mengalu-alukan kerjasama diantara industri dengan penyelidik bagi memperkasa industri kecil dan sederhana seterusnya membantu dalam industri pertanian negara. Penghasilan buku penyelidikan ini adalah bukti penyelidik UKM komited bagi membantu industri dan komuniti untuk memahami dapatan kajian yang diperoleh,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Bayu Gagah Marketing (M) Sdn Bhd, Abdul Rahim Yusoff turut mengalu-alukan usaha dan kerjasama sepadu diantara pihak kerajaan, universiti dan industri dalam meningkatkan serta memperkasakan martabat perusahaan indutri madu kelulut ke persada dunia.

“Bayu Kelulut merakamkan penghargaan kepada usaha UKM yang telah membuat kajian dan penyelidikan saintifik dalam meneroka kelestarian dan kebaikan madu, terutamanya madu kelulut.

“Dengan penerbitan buku ini, diharap akan dapat memberi lebih kefahaman dan penjelasan mendalam kepada pembaca tentang kelebihan khasiat madu kelulut jika dibandingkan dengan madu-madu lain,” katanya.

Di Malaysia, lebah kelulut mempunyai varian spesies yang lebih banyak berbanding lebah madu, mungkin kerana geografi Malaysia yang lembap dan sesuai untuk koloni lebah ini.

Lebah yang bersaiz kecil ini mungkin tampak kecil di mata kasar namun madu hasilan lebah ini sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat berbanding madu lebah biasa terutamanya dari segi kandungan antioksidan dan pelbagai khasiat terselindung di sebalik ‘liquid gold’ yang dihasilkan itu.