Buku ‘Suatu Perjalanan Hidup’ Cerita Tentang Pembangunan Masyarakat Malaysia Baharu


Oleh Ummu Umairah Ahmad Shukri (Wartawan Kadet)
Foto Izwan Azman

BANGI, 6 September 2018 – Buku ‘Suatu Perjalanan Hidup: Menghayati Dakapan Masyarakat’ hasil penulisan Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Denison Jayasooria menyentuh tentang pembangunan masyarakat Malaysia dalam membentuk masyarakat Malaysia Baharu.

Prof Datuk Dr Denison berkata, buku tersebut mencatatkan pandangannya berkenaan dengan hak asasi manusia, pembangunan inklusif, pembangunan lestari seperti Sustainable Development Goals (SDG), pembasmian kemiskinan khususnya diluar bandar, isu-isu pekerja sosial dan advokasi awam.

“Buku sebelas bab ini memberi gambaran tentang jatuh bangun saya dalam kehidupan serta pandangan peribadi saya terhadap visi Malaysia dalam membina masyarakat Malaysia Baharu,” katanya semasa Majlis Pelancaran buku berkenaan di Bilik Majlis, baru-baru ini.

Pandangan beliau dalam buku itu bertepatan dengan sikapnya sebagai seorang akademik dan linguist yang boleh mengukuhkan perpaduan dan kesepaduan sosial di negara ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, walaupun buku tersebut adalah penagalaman peribadi Prof Datuk Dr Denison, tetapi ia mewakili suara seluruh rakyat Malaysia.

“Saya menghargai jasa rakan-rakan khususnya mereka yang berkongsi pandangan dan pendapat tentang masa hadapan dan hala tuju negara ini.

Apabila berbicara tentang perpaduan atau kesepaduan, sama ada pembangkang atau kerajaan, maka ia adalah menjangkau kepartian dan kepentingan politik,” katanya yang melancarkan buku tersebut.

Beliau berkata, kenyataan yang kontroversial juga kadangkala perlu ditimbulkan sebagai usaha untuk melahirkan produk yang baik kepada negara.

Majlis pelancaran buku tersebut juga turut diselitkan oleh Diskusi Panel: Advokasi Awam yang membariskan Felo Penyelidik Utama KITA, Prof Dr Ong Puay Liu, Pengarah Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Dr Hezri Adnan, Felo Junior Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS-UKM), Haris Zuan, Kon Onn Sein  dari Yayasan Kajian dan Pembangunan Masyarakat dan Datuk Kuthbul Zaman Bukhari  yang mewakili Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Yang Dipertuan Dewan Negara Malaysia, Tan Sri Vigneswaran Sanasee