Dana Wakaf Ilmu UKM Lancar Kempen ‘Jom Imbas dan Wakaf RM1’


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 8 Mac 2023 – Dana Wakaf Ilmu Universiti Kebangsaan Malaysia (DWIUKM) melancarkan kempen ‘Jom Imbas dan Wakaf RM1’ sempena Sambutan Bulan Wakaf UKM bagi memupuk budaya berwakaf, bersedekah dan menyumbang dalam kalangan warga universiti.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha UKM untuk mengadaptasi konsep kampus digital melalui Kempen Kampus Tanpa Tunai yang telah dilancarkan pada 1 Februari lalu.

“Kini, warga UKM boleh berwakaf hanya dengan mengimbas imej QR Code.

“Jangan dilihat kepada nilai RM1 itu tapi lihatlah kepada usaha yang diterapkan bagi membudayakan sifat bersedekah atau berwakaf tanpa mengira nilai,” katanya.

Beliau yang meramikan majlis tersebut menekankan bahawa wakaf merupakan satu ibadah yang amat dituntut dalam agama Islam.

“Manfaat yang diterima daripada wakaf mampu dinikmati oleh pelbagai masyarakat berbilang bangsa dan juga agama di negara kita.

“Selain daripada membantu meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi negara, wakaf juga terbukti menjadi satu bentuk penyelesaian jangka panjang bagi perkembangan institusi pendidikan khususnya melalui sumber penjanaan yang menjamin pertumbuhan berterusan universiti.

“Perkembangan dan kejayaan wakaf ini mampu dilihat dengan mengambil contoh wujudnya Universiti Al-Azhar, Mesir,” katanya.

Antara program yang diadakan adalah forum Wakaf yang bertajuk ‘Wakaf Untuk Pembangunan Masyarakat Madani’.

Forum yang dipengerusikan oleh Encik Abu Bakar Yang, Pengurus Wakaf Yayasan Canselor ini menampilkan Professor Datuk Dr. Akram Laldin, Pengerusi ASNB Wakalah Sdn. Bhd Permodalan Nasional Berhad, Ustaz Anuar Hamzah Tohar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor serta, Ustaz Elyas Ismail, Pengarah High Step Consultan.

Sambutan anjuran Yayasan Canselor ini merupakan sambutan tahunan yang telah dianjurkan bermula pada tahun 2020. Sambutan pada tahun ini adalah dengan penglibatan dan tajaan rakan industri UKM iaitu Permodalan Nasional Berhad.