Dua Pasukan Pusat PERMATApintar Menang 35 Pingat di WSC Global Round

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat PERMATApintar

BANGI, 15 Julai 2016 – Dua pasukan pelajar dari Pusat PERMATApintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah merangkul 35 pingat dalam pertandingan World Scholar Cup (WSC) Global Round yang diadakan di Bangkok, Thailand pada 25 Jun hingga 1 Julai lepas.

Kedua-dua pasukan itu iaitu pasukan Senior dan pasukan Junior masing-masing telah mengumpul lebih 25,000 mata, sekaligus melayakkan mereka ke Tournament of Champion di Yale University, Amerika Syarikat hujung tahun ini.

Dalam pertandingan itu, pasukan Senior telah merangkul dua pingat emas dan 10 perak manakala pasukan Junior merangkul satu emas dan 22 perak.

WSC Global Round ialah satu pertandingan yang menguji kecekapan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar dari seluruh dunia. Antara aktiviti pertandingan yang dijalankan adalah Scholar’s Bowl (menguji kerjasama), Scholar’s Challenge (menguji keluasan pengetahuan), Collaborative Writing (menguji keupayaan menulis karangan persuasif) dan Debate (menguji keyakinan berbahas).

Pelajar PERMATApintar telah memasuki keempat-empat pertandingan yang melibatkan enam bidang iaitu Special Area (Crime and Justice), Science, Arts & Music, Literature, History dan Social Studies dengan tema “An Imperfect World”.

Pasukan Junior diwakili oleh Ong Jing Kai, Oh Juin Chuen dan Nur Alyssa manakala pasukan Senior terdiri daripada Yashvin Kumar, Ang Jia Jiunn dan Muhammad Arman Aizat.

Pertandingan selama lima hari itu telah menghimpunkan lebih 3,400 peserta daripada lebih 50 buah negara.ukmnewsportal-bm
2

3