Fakulti Perubatan Beri Pemeriksaan Kesihatan Buah Pinggang Percuma kepada Penduduk Sendayan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

SENDAYAN, 4 Mac 2023 – Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberi pemeriksaan buah pinggang secara percuma kepada 250 pengunjung terawal yang hadir ke Program Khidmat Masyarakat Sempena Hari Buah Pinggang Sedunia, di Felda Sendayan, hari ini.

Pemeriksaan itu adalah inisiatif dan kerjasama antara Fakulti Perubatan UKM dengan Yayasan Negeri Sembilan, DaVita Malaysia, Aeon dan MPKK Kampung Felda Sendayan.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustaffa berkata program seperti itu adalah sangat penting dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan kesihatan buah pinggang dan tindakan pencegahan yang perlu diambil.

“Sebagai sebahagian daripada usaha menuju Malaysia Madani, Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tanggungjawab untuk memastikan kesihatan rakyat terjaga dan diperhatikan.

“Polisi-polisi Kementerian Kesihatan seperti Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) dan Skim Peduli Kesihatan (PeKa) memainkan peranan penting dalam menyediakan akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan kesihatan dan penyaringan kesihatan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang untuk memberikan manfaat kepada masyarakat setempat dan keseluruhan negara,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian program tersebut, hari ini.

Beliau berkata kesihatan buah pinggang adalah aspek penting dalam mengekalkan kesihatan tubuh badan.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengingatkan semua orang bahawa penyakit buah pinggang boleh dicegah melalui amalan gaya hidup yang sihat. Ia juga boleh dikesan dengan awal melalui pemeriksaan kesihatan berkala,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata UKM sentiasa terbuka dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersesuaian dengan apa yang diketengahkan dalam elemen TERAS Watan UKM di bawah Prakarsa Prihatin, iaitu UKM akan terus berkhidmat untuk masyarakat dengan lebih komited dan menyeluruh.

“Melalui TERAS ini juga, ia bertujuan untuk membantu dan meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan-kawasan terpencil melalui program-program pembangunan dan khidmat masyarakat,” katanya.

Katanya, beliau berharap agar program itu berjaya mencapai objektif yang disasarkan serta mampu membantu masyarakat dan memperkukuhkan lagi hubungan yang baik antara universiti dan masyarakat setempat.

Antara aktiviti yang diajalankan sepanjang program itu berlangsung adalah saringan kesihatan dan konsultasi kesihatan bersama pakar perubatan secara percuma, pertandingan mewarna, mini explorace, pertandingan masakan menu sihat serta cabutan bertuah.

Turut hadir ke program itu ialah Exco Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Superamaniam.