Isteri Wakil Arwah Suami Terima Ijazah Sarjana


Oleh: Muhammad Zaim Badrul Hisham

Foto: Pusat Komunikasi Korporat UKM

BANGI, 29 Oktober 2017 – Majlis Penganugerahan Ijazah Posthumus kepada waris pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang meninggal dunia sebelum Majlis Konvokesyen ke-45 telah berlangsung semasa Majlis Makan Tengah Hari, sidang kedua di sini hari ini.

Anugerah buat Mohd Fairus Ramlan, seorang pelajar sarjana dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat yang telah menamatkan pelajaranya dalam bidang Keselamatan Siber telah diterima oleh Isterinya, Noor Ezza Rina Binti Muhammad, 29.

Allahyarham Fairus yang merupakan Pensyarah Politeknik Metro di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, meninggal dunia pada 13 Ogos 2016, berpunca daripada jangkitan kuman pada hati.

Turut serta bersama hadir ahli keluarga dan kedua anak Allahyarham, iaitu Noor Liayana Zahirah, 6, dan Mohamad Firdaus, 4.

Dalam perasaan sebak, isteri Allahyarham turut menzahirkan rasa bangga kerana dalam kalangan adik beradik, hanya dia seorang yang mengambil Ijazah Sarjana (Master).

“Saya juga turut berharap agar anak-anak boleh meruskan usaha macam abah mereka,” ujarnya.

Allahyarham Fairus merupakan diantara 7,972 graduan yang berjaya menamatkan pelajaran dan menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-45 tahun ini.