Khasiat Daun Kesum untuk Kesihatan


Oleh Murniati Abu Karim

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 16 Februari- Daun kesum atau nama saintifiknya ‘polygonum minus’ merupakan tumbuhan herba yang tidak asing dalam masakan Melayu. Selain bertindak sebagai penambah rasa dan aroma kepada masakan, tumbuhan herba ini kaya dengan pelbagai khasiat yang berupaya mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan manusia.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Ir. Dato’ Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata kesum yang mentah atau yang telah dimasak telah digunakan dalam rawatan gangguan pencernaan, manakala rebusan dan minyak daun ini boleh mengatasi masalah kelemumur.

“Kesum juga mempunyai beberapa ciri yang baik seperti kandungan antioksidan yang tinggi, aktiviti antimikrob, anti-keradangan, anti-kedutan, meningkatkan daya ingatan dan pelbagai manfaat lain yang telah dibuktikan secara saintifik oleh para penyelidik di Malaysia,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelancaran Buku dan Penyampaian Anugerah National Kesum Initiative (NKI) anjuran Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE) UKM dan Biotropics Malaysia Berhad.

Menurutnya, buku yang bertajuk ‘The Wonders of Kesum: Findings from the National Kesum Initiative’ merupakan sebuah platform untuk penyelidik daripada pelbagai kepakaran berkongsi penemuan projek penyelidikan yang berimpak tinggi berkaitan potensi kesum dalam pelbagai aspek.

“Melalui penulisan buku ini, maklumat komprehensif tentang penyelidikan kesum turut dibincangkan. Ia merangkumi kaedah pengekstrakan, sifat metabolit, dan potensi penggunaan daun ini sebagai agen neuroprotektif dan kemopreventif, penggunaan dalam kosmetik, pembungkusan makanan dan agro-industri.

“Buku ini dapat dijadikan satu sumber bacaan berinformasi dan panduan untuk penyelidikan di masa hadapan yang boleh membantu ke arah pengkomersilan kesum dalam pelbagai industri, termasuklah kesihatan, perniagaan tani, teknologi makanan, farmaseutikal dan kosmetik,” katanya.

Menurut Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM merangkap Pengerusi NKI, Prof Dr. Suzana Shahar, NKI yang menyediakan platform bagi penyelidik melontarkan idea, berkongsi hasil penyelidikan, seterusnya dinilai dari segi keaslian dan impak penyelidikan berkaitan kesum dan diberikan penganugerahan berdasarkan kriteria tertentu.

“Seiring dengan kemajuan teknologi perubatan, kewujudan NKI dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha berterusan yang telah dilaksanakan oleh penyelidik bagi memperkasa kajian produk herba tempatan.

“Harapan saya agar ada di antara hasil penyelidikan ini berjaya diteruskan kepada fasa seterusnya seperti percubaan klinikal, prapengkomersialan atau pengkomersialan,” katanya.

NKI yang ditubuhkan sejak pertengahan tahun 2019 telah mengumpulkan seramai 44 kumpulan penyelidik dari pelbagai institusi di Malaysia. 12 penyelidikan telah membuahkan hasilnya dan dibentangkan pada program tersebut.

Tiga penyelidik yang berjaya mendapatkan dana bagi menjalankan penyelidikan awal tentang kesum dan produk berkaitan telah dianugerahkan hadiah wang tunai.