Konvokesyen Jubli Emas UKM Rai 7,961 Graduan


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 26 November 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan seramai 7,961 graduan dalam Majlis Konvokesyen UKM ke-50 yang diadakan bermula 26 November hingga 1 Disember 2022.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata majlis konvokesyen yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM Bangi itu berlangsung selama enam hari dan dilaksanakan sebanyak 11 sidang.

Menurutnya, Majlis Konvokesyen kali ini diadakan secara normal dengan kehadiran ibu bapa dan keluarga di dalam dewan.

“Sebelum ini, hanya bakal graduan sahaja dibenarkan untuk berada di dalam dewan tanpa ditemani oleh ibu, bapa atau ahli keluarga. Alhamdulillah, pada tahun ini kita dapat adakannya seperti sedia kala tanpa terikat dengan SOP COVID-19 yang ketat seperti tahun sebelumnya.

“Majlis akan dimulakan dengan Majlis Pengisytiharan Konvokesyen pada 26 November yang akan disempurnakan oleh Canselor UKM, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir,” katanya.

Beliau berkata majlis yang bertemakan ‘Alumni Emas, Aspirasi Watan’ turut meraikan empat orang penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah iaitu Tan Sri Dato’ Dr. Palaniappan, Sir Mark Moody-Stuart, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan Prof. Dr. Edward Yi Chang.

“Majlis Konvokesyen jubli emas ini sangat bermakna kepada seluruh warga UKM kerana Universiti Watan ini sudah banyak melahirkan alumni berkualiti sejak penubuhannya 52 tahun.

“Sehingga kini, UKM telah menghasilkan seramai 222,197 orang alumni,” katanya.

Majlis Konvokesyen ini boleh ditonton secara langsung melalui saluran media sosial rasmi UKM, https://www.facebook.com/UKMOfficial serta saluran Youtube, https://live.ukm.my.

Pautan siaran langsung juga boleh diperolehi dari Laman Web Rasmi Konvokesyen, www.ukm.my/konvo.