Kumpulan Genius Remaja Pertama Kali Adakan Konsert Maya Secara Langsung

Berita dan Foto oleh Pusat Pemerkasaan Remaja

BANGI, 18 Januari 2021 – Kumpulan Genius Remaja di bawah kelolaan Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat pertama kalinya mengadakan konsert maya secara langsung (live) di media sosial baru-baru ini dengan menampilkan penyanyi tersohor tanah air, Black Hanifah sebagai artis jemputan.

Konsert tersebut telah berjaya meraih tontonan umum yang sangat memberangsangkan iaitu seramai 1,800 tontonan di Facebook dan 1,200 tontonan di Youtube.

Lebih daripada 200 komen positif memenuhi media sosial sepanjang konsert itu berlangsung.

Black Hanifah sangat kagum dengan bakat-bakat terpendam dari Genius Remaja dan beliau telah menyatakan hasratnya untuk terus memberikan sokongan dengan mengadakan sesi bimbingan bagi membolehkan bakat para remaja ini dicungkil.

Genius Remaja adalah salah satu daripada tujuh inisiatif di bawah program Genius di Kementerian Pendidikan Malaysia, yang secara signifikannya memainkan peranan aktif dalam pembangunan remaja B40 berusia antara 13 hingg 19 tahun untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang.

Remaja dalam Genius Remaja pastinya mendapat pelbagai manfaat melalui pelbagai program yang dijalankan bagi membolehkan mereka meneroka minat tersendiri, di samping meningkatkan kualiti hidup mereka.

Di bawah program Genius Remaja, terdapat program Impian Remaja yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sarjana pentadbiranPerniagaan (MBA). Graduate School of Business UKM bagi membantu komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR), khususnya memberi tumpuan kepada golongan remaja berisiko yang kurang berkemampuan.

Objektif utama Impian Remaja adalah untuk membentuk silaturahim mutualistik dalam kalangan masyarakat untuk dibawa ke dalam komuniti persekitaran bagi tujuan memberi akses pendidikan yang setara kepada para remaja berisiko di PPR.