Landskap Politik Malaysia Perlu Lebih Matang


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Februari 2019 – Landskap politik di Malaysia perlu berubah kepada lebih berilmiah dan tidak hanya memfokuskan kepada politik perkauman dan agama sahaja, kata Penganalisis Politik, Prof Dato’ Dr Mohammad Agus Yusoff.

Beliau yang juga Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, landskap politik di Malaysia perlu memfokuskan kepada politik yang teguh untuk menghasilkan kerajaan yang bertanggungjawab.

“Kita perlu bercakap mengenai politik yang kuat dan berilmiah (substantial), persoalan seperti apakah perubatan untuk rakyat, kemajuan untuk negara, perlindungan untuk rakyat (perlu dibangkitkan) barulah kita akan hasilkan kerajaan yang lebih bertanggungjawab,” jelasnya.

Prof Dato’ Dr Mohammad Agus berkata, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dalam soal hak Melayu dan agama Islam kerana perkara ini dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya melihat landskap politik tidak berubah kerana berterusan bercakap mengenai hak politik perkauman dan agama.   Ingin saya tegaskan di sini, hak melayu dan agama Islam telah dijaga oleh perlembagaan dan perlembagaan tidak boleh dipinda oleh 2/3 majoriti dewan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel Forum Bicara Persada ke-49 bertajuk Cameron Highland ke Semenyih: Adakah Landskap Politik Akan Berubah di Persada, Bangunan Pentadbiran di sini..

Beliau turut menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 DUN Semenyih yang bakal berlangsung pada 2 Mac 2019, dilihat sebagai referendum atau pungutan suara rakyat kepada kepada kerajaan sama ada menang atau kalah.

Selain itu, seorang lagi ahli ahli panel, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat kini sudah berani membuat pilihan dan menyuarakan hak mereka dan ini adalah isyarat buat pemimpin.

“Kini, saya lihat dari segi kuasa rakyat itu sendiri yang berani secara terbuka memberi isyarat kepada kerajaan,” katanya.

Forum tersebut menampilkan pengacara RTM1, Sayed Munawar Sayed Muhamad Mustar sebagai Moderator dan turut membariskan dua lagi ahli panel iaitu Naib Presiden Pas, Ustaz Idris Ahmad dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.