Majlis Pentauliahan Kor SISPA UKM 2020 Dianjurkan Secara Hibrid


Oleh Salleh Sulieman

Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 19 Disember 2020 – Majlis Pentauliahan Kor SISPA UKM Tahun 2020 yang dianjurkan baru-baru ini telah mencatat sejarah yang tersendiri apabila diadakan secara hibrid.

Y.Bhg. PPj. Kehormat (PA) Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar merangkap Komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam UKM berkata penganjuran majlis secara hibrid disebabkan suasana pandemik COVID 19.

“Bagi menggelakkan penularan wabak COVID 19, Kor SISPA UKM dengan kerjasama APM telah mengambil langkah yang wajar dengan memastikan keperluan penganjuran majlis seperti penginapan, teknikal, logistik dan kebajikan para tetamu berada di tahap yang terbaik dalam norma baharu,” tegas beliau.

Majlis pentauliahan ini diadakan di Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) di Bangi dan menyaksikan seramai 58 pegawai kadet ditauliahkan. Seramai 21 pegawai kadet ditauliahkan secara fizikal manakala 37 lagi ditauliahkan secara dalam talian.

Mengulas lebih lanjut, beliau yakin mahasiswa yang bergiat dalam Kor SISPA UKM telah diberikan latihan mental dan fizikal yang secukupnya bagi menghadapi segala cabaran dalam menghadapi situasi yang mencabar.

“Pegawai kadet Kor SISPA UKM mampu memberi nilai tambah kepada APM dan memberi perlindungan kepada orang awam dan pengurusan bencana.

“Saya berharap segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang telah dipelajari sewaktu menyertai badan beruniform Kor SISPA UKM dapat digunakan dengan memberi sumbangan kepada agama, bangsa, dan negara,” tambahnya.

Pasukan Kor SISPA ialah salah satu badan beruniform di universiti awam sebagai satu kursus kokurikulum yang memberi nilai tambah dari segi kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.