MASUM 2017 Tingkatkan Kualiti Sukan Negara


Oleh Iznee Isa
Foto Izwan Azman

BANGI, 12 Julai 2017- Kira-kira 4,000 atlet dari 20 Universiti Awam berkampung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi merebut kejuaran dalam Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2017.

Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata para atlet perlu menjadikan MASUM sebagai pentas untuk terus meningkatkatkan prestasi dan membina keyakinan diri.

“KPT sentiasa menyokong aktiviti dan program sukan yang mendorong mahasiswa supaya lebih berdaya saing dan komited terhadap apa jua bidang yang diceburi,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Karnival Sukan MASUM 2017 di sini.

Sementara itu, Naib Canselor Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata sebagai tuan rumah, UKM akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan perjalanan kejohanan pada kali ini merupakan penganjuran terbaik yang pernah diadakan.

“Kejohanan sukan MASUM dan kejohanan sukan lain di peringkat IPT merupakan salah satu cara untuk kita menyumbang terhadap kecemerlangan pembangunan negara dalam bidang sukan,” jelasnya.

Beliau berharap agar atlet mempunyai komitmen dan semangat sukan yang tinggi dalam meningkatkan mutu sukan negara.

Kejohanan MASUM 2017 yang sedang berlangsung ini mempertandingkan 16 acara yang melibatkan penyertaan daripada 20 universiti awam di Malaysia.

UKM sebagai tuan rumah mensasarkan tempat tiga teratas daripada keseluruhan universiti yang terlibat.

Beberapa orang atlet UKM yang menyertai MASUM akan turut bertanding dalam kejohanan Sukan SEA Kuala Lumpur yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman, TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal, TNC Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah.