Naib Canselor UKM Hulur Sumbangan kepada Mahasiswa


Oleh Salleh Sulieman
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 25 April 2022- Seramai 25 mahasiswa menerima sumbangan yang disampaikan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman dalam Majlis Jalinan Kasih Mahasiswa Bersama Naib Canselor UKM, semalam.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada mahasiswa yang selama ini terus menyokong dan bersama-sama pengurusan UKM dalam memastikan universiti watan ini mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

“Para mahasiswa merupakan aset penting yang sama-sama berperanan meningkatkan kecemerlangan UKM. Oleh yang demikian, pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh UKM dalam memastikan kebajikan dan kecemerlangan para mahasiswa diberi penekanan dan keutamaan,” katanya.

Beliau juga menzahirkan harapan agar majlis ini dapat merapatkan ukhwah dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa dan warga universiti sempena bulan Ramadan yang mulia ini.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan aktiviti fizikal dapat berjalan seperti biasa di samping mengawal penularan wabak COVID-19.

“Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada masa ini masih diteruskan secara hibrid. Kita berharap, dalam fasa endemik ini, kaedah PdP ini dapat kembali seperti dahulu dan para mahasiswa dapat kembali ke kampus sepenuhnya,” tegasnya.

Majlis iftar ini dianjurkan oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) di Kafeteria Randau Rasa, Dewan Tun Abdullah Mohd. Salleh, UKM Bangi.

Tahun ini merupakan tahun kedua secara berturut-turut HEP-UKM menganjurkan majlis iftar seperti ini bersama wakil pemimpin mahasiswa.

Beliau juga berkesempatan beramah mesra bersama pelajar yang terlibat selepas tamat majlis iftar. Majlis iftar ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pengurusan tertinggi UKM yang lain.