Pelajaran dan Sukan Perlu Bergerak Seiring


Oleh Engku Shariful Azni
Foto oleh Komunikasi Korporat

BANGI, 12 November – Kesibukan dalam menelaah pelajaran tidak menjadi penghalang kepada pasukan bola sepak UKMFC untuk mengharumkan nama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam arena sukan.

Muhammad Hafiz Zalani, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Sukan dan Rekreasi) merangkap kapten UKMFC untuk Liga IPT mengakui antara faktor yang paling mempengaruhi dia dan ahli pasukannya ketika zaman belajar adalah kekangan masa.

“Selain daripada mempunyai tugasan yang banyak, kami juga perlu belajar untuk membahagikan masa antara belajar dalam kuliah dan latihan bola sepak.

“Mujur pensyarah kami sangat memahami keadaan kami dan sentiasa membuat sesi perjumpaan khas supaya kami tak ketinggalan dalam pelajaran,” ujarnya.

Hafiz turut memetik nasihat jurulatihnya yang sentiasa mengingatkan mereka supaya mementingkan pelajaran dahulu.

“Jurulatih kami selalu berpesan bahawa main bola sehebat mana pun, pelajaran harus diutamakan,” katanya.

Dia menjelaskan lagi selain daripada bijak membahagikan masa antara akademik dengan latihan sukan dengan baik, rehat yang secukupnya adalah penting supaya momentum dapat dikekalkan bagi menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa seperti biasa.

“Saya bersyukur kerana selain dapat mengharumkan nama UKM dalam sukan bola sepak, kami juga dapat bergraduasi pada hari ini,” katanya.

Hafiz yang kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Pendidikan (Pengurusan Sukan) di universiti ini berhasrat untuk terus bermain dalam pasukan tersebut demi membawa nama UKM ke peringkat yang lebih tinggi.

UKMFC adalah Naib Johan piala Challenge Cup 2018 pada September yang lalu selepas tewas kepada Terengganu FC.