Pelaksanaan EKSA Wujudkan Persekitaran Kerja Yang Kondusif


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 Mac 2023 – Gotong-royong perdana bagi melaksanakan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan selamat di universiti.

Inisiatif Pusat Jaminan Kualiti (Kualiti-UKM) ini dilaksanakan secara beperingkat dengan fasa pertama melibatkan penyertaan 13 Pusat Tanggungjawab (PTJ) rintis yang menjadi pemula kepada pelaksanaan EKSA.

Pendaftar, Dato’ Dr Syed Kamarudin Sadakkuthula berkata penerapan nilai dan elemen EKSA diharapkan memberi impak yang positif kepada pihak berkepentingan terutamanya terhadap peningkatan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisyen oleh warga UKM.

“Objektif dan matlamat ‘Go Green’ di dalam pelaksanaan EKSA ini harus dilihat secara inklusif selari dengan salah satu Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals yang turut menjadi tanda aras dalam garis panduannya.

“Pelaksanaan EKA ini juga merupakan satu aspirasi yang mendukung kepada kebitaraan i-Minda dibawah prakarsa advokasi di dalam Pelan Strategik TERAS UKM.

“Saya yakin, pengemblengan idea dan usaha daripada lebih 10,000 kakitangan UKM akan dapat menjayakan inisiatif EKSA UKM dengan semangat dan sinergi yang utuh,” katanya.

Dalam merealisasikan pencapaian EKSA ini, Jawatankuasa Induk dan Pelaksana EKSA UKM telah dibentuk untuk merancang dan melaksanakan aktiviti vagi membentuk sistem persekitaran berkualiti.

Hadir sama, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti Prof Madya Dr Roziah Sidik @ Mat Sidek dan Timbalan Pengarah Eksekutif (Kelestarian), Pusat Strategi, Prof Madya Dr Azmul Fahimi Kamaruzaman.