Pendekatan UKM Mengenai Isu Perubahan Iklim Berbaloi

UKM’s Multi-Discipline Approach On Climate Change Vindicated1Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 5 Jan 2014 – Pendekatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap isu alam sekitar dan kelestarian melalui penyertaan pelbagai pihak berkepentingan dan perspektif terbukti berbaloi.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata beliau dan ahli akademik lain memandang serius kurikulum pembangunan dan kelestarian kerana ia adalah satu bidang yang agak baru di Malaysia.

Beliau memberitahu Portal Berita UKM selepas menyertai bengkel kurikulum perubahan iklim di Kuala Lumpur baru-baru ini rakyat kini semakin sedar bahawa sebarang projek baru akan memberi kesan terhadap alam sekitar.

Kira-kira 100 orang ahli profesional dari seluruh dunia – terdiri dari pakar-pakar perhutanan, ahli pertanian, ahli sains sosial dan mereka yang terlibat dalam bidang berkaitan dengan perubahan iklim – telah berkumpul di Malaysia menghadiri satu  bengkel selama seminggu untuk program kurikulum “melatih pelatih” mengenai perubahan iklim.

“Sekarang ini apabila bercakap mengenai pembangunan kita tidak boleh lari daripada isu-isu berkaitan dengan impaknya terhadap perubahan iklim. Inilah apa yang kami lakukan melalui usaha multi-disiplin ini dan pendekatan pelbagai sektor,” katanya.

Prof Mazlin memuji peranan besar Agensi Amerika Syarikat bagi Pembangunan Antarabangsa (USAID) yang telah menyediakan dana untuk menampung program itu.

“Ahli akademik berperanan untuk menyampaikan pengetahuan terhadap usaha mengurang dan menyesuaikan impaknya. Peranan penting ini diiktiraf oleh USAID, yang telah menyediakan dana untuk mengendalikan program bagi ahli-ahli akademik di rantau ini menyampaikan maklumat yang terbaik mengenai perubahan iklim kepada pelajar mereka serta rakan akademik mereka,” tambah beliau.

Bengkel pembangunan kurikulum dan latihan sesi jurulatih dianjurkan oleh program khas USAID iaitu Pengurangan Pelepasan Gas dari Hutan Di Asia dengan kerjasama Pejabat Perhutanan Amerika Syarikat (USAID LEAF).

USAID LEAF adalah suatu usaha kerjasama lima tahun yang dibiayai oleh USAID ia itu Pertubuhan Pembangunan Serantau untuk Asia.

Prof Mazlin, yang juga Ketua Sub Kluster Pembangunan Lestari Majlis Profesor Negara, berkata UKM sentiasa menyokong sumbangan daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang kerana mereka membawa perspektif yang berbeza yang mana ahli akademik mungkin tidak nampak.

Program ‘melatih jurulatih’ ini meliputi asas perubahan iklim, kekukuhan sosial dan alam sekitar, pelepasan rendah gas, perancangan guna tanah serta pengukuran karbon dan pemantauan.

Program perubahan iklim dimulakan pada tahun 2012, apabila modul mula digubal.

Para akademik dan pakar yang diambil dari pelbagai bidang dari enam negara menghadiri sesi itu dan bersetuju dengan set modul yang berkaitan dengan bidang mereka, kata Prof Mazlin.

Kelebihan pendekatan USAID LEAF ialah modul yang cukup fleksibel untuk disesuaikan dengan semua bidang pendidikan, katanya.

Pendidikan, katanya, mempunyai pelbagai laluan – formal dan tidak formal. Namun untuk pusingan pertama lebih ramai profesor dan ahli akademik terbabit supaya mereka boleh menumpukan perhatian secara lebih formal,” tambah beliau.

Prof Mazlin, yang sebelum ini pernah menjadi Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan UKM (Lestari), berkata jurulatih sepatutnya mempelajari kemahiran mengenainya supaya mereka dapat membantu membina keupayaan dan tidak sahaja mengajar dalam dewan kuliah universiti.

Mereka juga akan boleh memberikan pengetahuan asas perubahan iklim kepada masyarakat amnya supaya mereka sendiri boleh mencari penyelesaian terhadap masalah yang mereka hadapi.

Kurikulum perubahan iklim kini hampir siap dan ia merupakan yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara. Ia melibatkan usaha bersama oleh 12 buah universiti dari Kemboja, Laos, Papua New Guinea, Thailand, Vietnam dan Malaysia yang diwakili oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UKM.

ukmnewsportal-bm