Pensyarah Perlu Teroka Kaedah Baharu dalam Pengajaran dan Pembelajaran


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 13 September 2018 – Dalam melangkaui era teknologi masa kini, semua pensyarah terutamanya pensyarah yang mengajar kursus tahun satu perlu meneroka kaedah baru dalam sistem pengajaran dan pembelajaran, kata Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata, pensyarah perlu memikirkan apakah teknologi yang boleh digunakan semasa pengajaran supaya pelajar tidak cepat bosan dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar.

“Kita perlukan pengajaran yang berkualiti dan inovatif, bukannya pengajaran konversional. Ini adalah selaras dengan peredaran zaman,” katanya semasa Majlis Perjumpaan Naib Canselor UKM bersama Pensyarah Kursus Tahun 1 Sesi 2018-2019, di sini baru-baru ini.

Katanya, dalam melahirkan graduan yang berinovasi, tenaga akademiknya perlu lebih berinovasi.

Beliau berharap,  para pensyarah membuat persediaan yang rapi dan bersungguh-sungguh demi memastikan ilmu yang disampaikan dapat difahami dan dimanfaatkan oleh para pelajar.

“Anda (pensyarah) adalah harapan besar universiti. They (student) are looking at you at the first time class next week. So, please spend more time to your student. Bagi mereka peluang untuk bersuara,” katanya.

Katanya, beliau menaruh harapan yang besar supaya semua pensyarah meletakkan tanggungjawab dalam mendidik pelajar-pelajar tersebut.

Kita bukan hanya mahukan pelajar yang cemerlang dalam akademik semata-mata, tetapi mempunyai banyak kebitaraan lain,” jelasnya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Prof Dr Mohamad Abdullah.