Penyelidik Nafi Jepun Dalangi Pelacuran Ketika Perang Dunia Kedua

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 12 Okt 2015 – Seorang penyelidik dan akademik Jepun  menafikan dakwaan bahawa kerajaan tentera Maharaja Jepun di wilayah yang didudukinya semasa Perang Dunia II memaksa wanita tempatan untuk menjadi pelacur.

Terdapat banyak tuduhan sedemikian dari mangsa-mangsa negara yang menuntut pampasan daripada Jepun tetapi dakwaan tersebut tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan Tokyo, kata Ahli sejarah Prof Dr Fujio Hara, Profesor (B) di Nazan University di Nagoya, Jepun.

Siasatan terhadap tuduhan itu dilakukan berikutan tuntutan-tuntutan beberapa negara Asia, tetapi hasilnya tidak menyokong tuntutan itu, kata Prof Fujio pada satu persidangan mengenai Perang Dunia Kedua di sini pada 8 Oktober.

“Pada tahun 2007, kerajaan Jepun membuat keputusan kabinet. Tiada bukti didapati bahawa tentera Jepun atau pegawai-pegawai tentera memaksa wanita jadi pelacur dengan kekerasan,” katanya.

Beliau berkata sejak tamat peperangan kerajaan Jepun telah dibanjiri oleh tuntutan daripada mangsa yang terselamat dan negara-negara terbabit, tetapi apa yang dapat disahkan adalah bahawa pelacur atau ‘Wanita Selesa’ telah dikerah secara paksa.

Prof Fujio berkata demikian ketika menjawab soalan dari para peserta selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Teori Mara Ke Arah Selatan Diperjuangkan oleh Jepun yang mempunyai kepentingan ekonomi di Tanah Melayu’ pada persidangan itu yang dianjurkan oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM.

Beliau berkata, rumah pelacuran di negara-negara terbabit mungkin ditubuhkan oleh usahawan tempatan untuk mengeksploitasi keperluan ramai askar Jepun yang menceroboh.

Dalam ucaptama, beliau menjelaskan bahawa salah satu faktor pencerobohan Jepun di Asia Timur adalah kerana Jepun mahu melindungi kepentingan ekonomi di wilayah di bawah pemerintahan penjajah Eropah.

Bagaimanapun, beliau juga mengakui bahawa Jepun menyerang Asia Timur untuk merampas sumber-sumber alam yang ia idamkan.

Beliau berkata Asia Tenggara mempunyai getah dan bijih timah yang sangat penting bagi industri Jepun, tetapi kerajaan tentera menjadi sangat kecewa apabila Britain dan Perancis mengenakan sekatan perdagangan terhadap semua eksport ke Jepun.

Beliau juga menegaskan bahawa Jepun mempunyai kepentingan ekonomi yang besar di Tanah Melayu, Singapura, India Timur (Jawa), Indo-China (Vietnam) dan Filipina kian lama sebelum perang.

“Aktiviti ekonomi Jepun di Tanah Melayu bermula sejak abad ke-19. Para pendatang Jepun di Tanah Melayu bekerja dalam industri getah sebagai pekebun kecil yang membekalkan syarikat-syarikat Jepun.

“Terdapat 14,000 hektar pokok getah yang dimiliki oleh 11 syarikat Jepun di Tanah Melayu manakala 4,000 hektar telah diperuntukkan untuk pekebun kecil.

“Menjelang akhir tahun 1940, 10,000 petani Jepun telah dibawa ke Tanah Melayu,” katanya.

Terdapat juga industri ikan di perairan Tanah Melayu, tetapi pada akhir tahun 1930-an, pihak berkuasa penjajah British mengenakan sekatan terhadap kapal nelayan Jepun dari Okinawa.

Selain itu, bijih besi juga dilombong oleh syarikat Jepun di Tanah Melayu.

“Pada tahun 1916, pihak Jepun mula mengeksport bijih besi secara eksklusif kepada Jepun. Sebuah syarikat Jepun melombong bijih besi di Dungun, Terengganu. Tanah Melayu adalah sumber terbesar bijih besi untuk Jepun, tetapi apabila perang meletus pada tahun 1941, pihak British membekukan semua aset Jepun,” katanya.

Turut hadir pada persidangan itu Pengarah IKMAS Prof Dr Rashila Ramli, Timbalan Pengarah Prof Dr Noraini Md Yusof dan Ketua Jawatankuasa Penganjur Prof Dr Jaroslav Suchoples.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh IKMAS, Goethe-Institut Malaysia, Pusat Pengajian Eropah di Universiti Lund (Sweden), Kedutaan Perancis dan Kedutaan Poland di Malaysia dengan sokongan Yayasan Jepun.ukmnewsportal-bm