Penyelidik UKM Bangunkan Airborne IoT Network Pantau Kualiti Air


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 Januari 2020 – Dalam memastikan keadaan biosfera Tasik Chini terpelihara, pasukan penyelidik dari Pusat Kejuruteraan Elektronik dan Komunikasi Terkehadapan (PEKET), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) UKM telah membangunkan teknologi platform komunikasi tanpa wayar yang inovatif, iaitu Airborne Internet of Things Network (AIN).

Keadaan Tasik Chini yang dikelilingi tumbuh-tumbuhan yang tinggi dan keadaan muka bumi yang berbukit dan mencabar menghalang para saintis di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) untuk melaksanakan tugas dengan mudah.

Diketuai oleh Prof  Madya D. Rosdiadee Nordin, inovasi akan memantau parameter kualiti air, seperti pH, oksigen terlarut, kekeruhan, suhu dan kedalaman.

Prof. Madya Dr Rosdiadee berkata, projek tersebut memfokuskan kepada penggunaan Internet of Things (IoT) membabitkan platform altitud tinggi menggunakan belon, rangkaian tanpa wayar mesin-kepada-mesin (M2M), teknologi sensor dan analisis data raya.

“Untuk memastikan kelestariannya, sensor yang digunakan dikuasakan oleh bateri tradisional dan tenaga solar. “Platform balon” adalah alternatif yang unggul untuk pengesanan dari jauh kualiti air berbanding menara komunikasi tetap,” katanya.

Beliau berkata, sebelum di bawa ke Tasik Chini, pengujian inovasi AIN telah dilakukan di Tasik Kejuruteraan UKM selepas segala integrasi dan pengesahan selesai dijalankan.

“Projek penyelidikan AIN dijangka akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar Tasik Chini dengan menyediakan maklumat mengenai kualiti air dan memelihara ekosistem serta biodiversiti kepelbagaian spesies yang bergantung kepada tasik berkenaan sebagai habitat serta rangkaian makanan,” katanya.

Katanya, AIN mempunyai kelebihan iaitu lebih fleksibel dan kosnya lebih murah berbanding pemantauan secara manual oleh saintis yang membabitkan pengurusan kos sumber manusia dan operasi serta pembinaan menara kawalan kekal yang menelan belanja ribuan ringgit.

Penyelidikan yang dijalankan di bawah dana Geran Universiti Penyelidikan (GUP) UKM bernilai RM80,000 tersebut turut mendapat kerjasama daripada National Institute of Information and Communications Technology (NICT) Japan dan Mimos Bhd.