Prof. Dr. Fredolin Tangang – Penerima Anugerah Akademik Negara (AAN) ke -14 Kategori Penerbitan Makalah Jurnal Bidang Sains


Oleh Asmahanim Amir

Foto Kementerian Pengajian Tinggi

BANGI, 17 Mei 2022 – Prof. Dr. Fredolin Tangang, Pengerusi, Jabatan Sains Bumi & Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, telah dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Akademik (AAN) ke-14 Kategori Penerbitan Makalah Jurnal Bidang Sains yang telah disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia di Majlis Penyampaian Anugerah AAN ke-14 pada 24 Mac 2022 di Hotel Sama-Sama KLIA Sepang.

Pemilihan Prof Fredolin sebagai Pemenang Kategori Makalah Jurnal Bidang Sains adalah berdasarkan kepada penerbitan makalah jurnal bertajuk “Multi-Model Projections of precipitation extremes in Southeast Asia base on CORDEX- Southeast Asia simulations yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Research. Penyertaan beliau dalam AAN-14 kali ini adalah mewakili UKM setelah dipilih sebagai pemenang Anugerah Bitara 2021 bagi Kategori Penerbitan Makalah Jurnal Bidang Sains Peringkat UKM berdasarkan makalah yang sama.

Semasa ditemubual oleh media UKM, Prof Fredolin menganggap anugerah AAN-14 yang diterimanya adalah satu pengiktirafan kepada lebih dua dekad penyelidikan dalam meningkatkan kefahaman saintifik keragaman dan perubahan iklim di rantau Asia Tenggara, terutama di Malaysia. Menurut Prof Fredolin, kefahaman saintifik keragaman dan perubahan iklim sangat penting dalam memahami iklim di masa lampau dan hadapan, sebagai maklumat asas yang diperlukan dalam membuat penilaian risiko kepada impak perubahan iklim ke atas pelbagai sektor penting negara.

Yang paling signifikan sekali adalah sumbangan beliau kepada kemajuan pemodelan iklim rantauan di Asia Tenggara dan di Malaysia. Prof Fredolin menjadi peneraju kepada penubuhan Coordinated Regional Climate Downscaling Experiment (CORDEX) – Southeast Asia pada tahun 2013, dan penubuhan Southeast Asia Regional Climate Change Information System (SARCCIS) sebuah pangkalan data iklim serantau iklim Asia Tenggara yang berpusat di Bangkok dan diurus bersama oleh Ramkhamhaeng University Center of Regional Climate Change and Renewable Energy (RU-CORE) dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

CORDEX adalah sebuah program yang beribu pejabat di Sweden dan di bawah World Climate Research Programme (WCRP), World Meteorological Organisation (WMO). CORDEX Asia Tenggara adalah salah satu dari 14 domain yang terdapat dalam program ini.

Menurut Prof. Dr. Fredolin, penubuhan CORDEX Asia Tenggara tercetus apabila beliau melihat kurangnya aktiviti pemodelan iklim rantauan di Asia Tenggara.

“Semasa saya menjadi Naib Pengerusi Kumpulan Kerja I Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2008 hingga 2015, saya perhatikan betapa ketinggalannya rantau Asia Tenggara dalam aspek pemodelan iklim rantauan berbanding negara-negara maju di Eropah, Amerika Syarikat, mahupun China.

“Rantau kita termasuk Malaysia masih lagi terkebelakang. Jadi, saya memikirkan bahawa rantau ini perlu menjadi sebahagian daripada CORDEX untuk meningkatkan kepasiti pemodelan iklim serantau. Pada masa itu CORDEX belum ada lagi di Asia Tenggara. Saya terajui dan tubuhkan CORDEX Southeast Asia, secara tidak langsung menggunakan kredibiliti dan pendedahan saya di IPCC.

“Pada tahun 2012, saya adakan bengkel di Vietnam National University, Hanoi. Di situ ramai pakar perubahan iklim berkumpul dan berbincang bagaimana kerjasama serantau aktiviti penyelidikan pemodelan iklim di Asia Tenggara dimulakan dan dirancakkan. Hasil daripada bengkel ini, satu kertas cadangan pemohonan dana dimajukan kepada Asia Pacific Network for Global Change Research  (APN) yang berpusat di Jepun. Lima negara yang terlibat dalam pemohonan ini termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand.

“Hasilnya pada 2013, APN telah memberi dana kepada kumpulan bagi menjalankan projek yang dikenli sebagai Southeast Asia Climate Downscaling Experiment (SEACLID),” katanya.

Beliau berkata pihak CORDEX juga bersetuju untuk menjadikan SEACLID sebagai domain ke-14 CORDEX dan projek itu dijenamakan semula sebagai SECALID /CORDEX Southeast Asia.

“Di bawah CORDEX Asia Tenggara, lebh ramai rakan-rakan penyelidik yang terlibat dan sama-sama menyumbang kepada pemodelan iklim rantauan di Asia Tenggara. Ini termasuk kolaborator dari Australia, Sweden, Jerman, United Kingdom, China, Korea dan Jepun,” ujarnya.

Pemodelan iklim rantauan bagi tujuan penilaian risiko bencana iklim memerlukan penggunanan pelbagai model iklim global dan rantauan dan juga resolusi tinggi. Ini menyebabkan kos pemodelan sangat tinggi dan memakan masa yang lama sekiranya dilakukan secara bersendirian oleh sesebuah negara di rantau ini.

“Tidak semua negara di Asia Tenggara mampu melakukan ini semua. Jika ia dilakukan secara bersenderian, domain pemodelan ini akan bertndan dan secara logiknya adalah lebih baik negara-negara di arantau ini berkerjasama. Jadi, CORDEX Asia Tenggara ini sesuatu yang unik yang menyediakan pentas bagi saintis di dalam dan luar Asia Tenggara berkerjasama.

“Ternyata usaha melalui CORDEX Asia Tenggara ini berhasil dan berjaya menghasilkan simulasi iklim rantauan pelbagai model beresolusi 25 km. Malah ia menjadi contoh terbaik pembangunan kapasiti pemodelan iklim rantauan di negara-negara membangun melalui CORDEX,” katanya.

Melalui CORDEX Asia Tenggara, ujarnya, pelbagai pencapaian dapat dibuat. Ini termasuk penerbitan pelbagai makalah saintifik pemodelan iklim di Asia Tenggara ( > 25 setakat ini), pembinaan kapasiti dengan penhasilan model insan dalam pemodelan iklim (bukan hanya di Malaysia tetapi di negara-negara lain di rantau ini), pelbagai bengkel pemodelan iklim yang telah dianjurkan, peningkatan jaringan penyelidikan di rantau dan luar rantau Asia Tenggara.

“Yang paling signifikan sekali adalah penubuhan SACRCIS sebagai pengkalan data di mana output iklim model rantauan CORDEX Asia Tenggara ini diarkibkan untuk memudahkan akes kepada penyelidik-penyelidik di rantau ini mendapatkan data model iklim dalam menilai impak perubahan iklim kepada pelbagai sektor penting di rantau ini.

“SARCCIS telah dilancarkan di UKM pada Mei 2018 secara bersama oleh Presiden Ramkhamhaeng University dan Timbalan Naib Canselor UKM, masing-masing pada ketika itu ialah Prof  Wuttisak Lapcharoensap dan Prof Dato Ir. Dr. Marzuki Mustapha.

“SARCCIS adalah nod tunggal di Asia Tenggara bagi  Earth System Grid Federation (ESGF) yang merupakan  sistem rangkaian pangkalan data yang mengarkib, menyebar output model iklim dan cerapan dunia,” katanya.

UKM and Ramkhamhaeng University menandatangani Kerjasama LOI untuk mengurus pengkalan data SARCCIS. Prof Fredolin juga dilantik oleh Ramkhamhaeng University sebagai Adjung Profesor bagi menjayakan kerjasama ini.

Data simulasi unjuran iklim rantauan CORDEX Asia Tenggara telah diguna oleh negara-negara ASEAN seperti Vietnam, Indonesia dan Filipina dalam penilaian iklim di negara masing-masing. Ia juga telah diguna oleh pelbagai kumpulan di Asia Tenggara dalam penilaian impak perubahan iklim ke atas pelbagai sektor. Dan yang paling bermakna sekali, data CORDEX Asia Tenggara telah digunakan dalam pembikinan IPCC ATLAS bagi Laporan Penilaian IPCC ke-6 (AR6).

Tambahnya lagi, enam penerbitan dari projek SEACLID/CORDEX Asia Tenggara ini telah dipetik dalam Laporan Penilaian IPCC ke-6 (AR6) dan mendapat ucapan penghargaan dan tahniah dari APN atas pencapaian ini.

CORDEX Asia Tenggara dalam perungkat akhir menyiapkan fasa ke-2 projek iaitu simulasi penurunskalaan kepada resolusi yang lebih tinggi iaiatu 5km kepada pelbagai sub-domain termasuk subdomain Semenanjung Malaysia bagai Malaysia bagi membolehkan data unjuran boleh digunakan dalam skala kecil termasuk lembangan.

CORDEX Asia Tenggara juga telah memulakan fasa ke-3 iaitu penurunskalaan model-model global baharu CMIP6 bagi domain Asia Tenggara berbanding dengan model-model CMIP5 bagi fasa 1 dan 2.

Pastinya CORDEX Asia Tenggara akan terus relevan dan menyumbang kepada rantau Asia Tenggaraa dalam kemajuan sains perubahan iklim, peningkatan kapasiti, jaringan dan penyediaan data kepada negara – negara di rantau ini.

Anugerah AAN ke -14 yang Prof Fredolin terima walaupun khusus kepada penerbitan makalah Multi-Model Projections of precipitation extremes in Southeast Asia base on CORDEX- Southeast Asia simulations tetapi ia lebih kepada pengiktifran kepimpinan beliau dalam meneraju CORDEX Asia Tenggara dan memainkan peranan penting di rantau ini dalam pemodelan iklim dan peningkatan kefahaman saintifik perubahan iklim.