Program Pelestarian Taman Inspirasiku Satukan FKAB dengan Masyarakat


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

LENGGENG, 19 Januari 2022 – Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan program Pelestarian Taman Inspirasiku bersama penduduk di Taman Albury 2, Lenggeng, Negeri Sembilan bagi memberi kesedaran berkenaan penjagaan alam sekitar.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama SWCorp Negeri Sembilan bersama komuniti Taman Albury 2 itu mengetengahkan pengurusan sampah dan penjagaan alam sekitar demi memastikan kesihatan manusia terjamin.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata program tersebut bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat setempat berkenaan cara menguruskan sampah yang betul.

“Program ini adalah kolaborasi yang mantap antara empat entiti dalam menyediakan hasil penyelidikan kepada masyarakat, selain memberi sumbangan yang hebat dari UKM kepada mesyarakat setempat.

“Pihak UKM adalah sebagai subject matter expert, sebagai researcher, sebagai rakan kolaborasi bersama industri dan kerajaan yang akan memberi sesuatu yang berimpak tinggi kepada masyarakat.

“Pengurusan sampah adalah isu yang serius yang perlu dititikberatkan kerana jika tidak diurus dengan betul, ia akan menyebabkan berlakunya pencemaran. Jadi, unsur-unsur pendidikan dan penyelidikan itulah yang UKM bawakan kepada masyarakat dalam menjayakan program pelestarian ini,” katanya semasa Program Pelestarian Taman Albury 2, Lenggeng, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp, Mohammad Ridzwan Abidin berkata program itu merupakan salah satu inisiatif SWCorp di bawah Dasar Kebersihan Negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab terhadap kebersihan, dan bersama membantu kerajaan dalam aspek kelestarian alam sekitar dan amalan kitar semula.

“Program ini bertujuan untuk bersama-sama masyarakat bagi meningkatkan minat mereka dalam pembersihan awam dan pengurusan sampah.

“Kita nak memastikan setiap rumah mengasingkan sampah-sampah seperti makanan, kertas, botol dan plastik. Jika perkara ini dapat dilakukan oleh setiap ahli rumah, kita boleh kurangkan sampah sebanyak 40 peratus dan ini akan dapat meningkatkan langkah penjimatan,” katanya.

Sepanjang program itu berlangsung, pelbagai aktiviti yang melibatkan kelestarian alam sekitar telah diadakan seperti aktiviti STEM UKM bersama kanak-kanak, tazkirah bersama Da’i Hazman, pameran dan demonstrasi upcycling dari tayar terpakai, KITARecycle oleh SWM Environment Sdn. Bhd., Taklimat SAS, plogging dan penghantaran barangan kitar semula.