Pusat Perubatan UKM Terima Alat Ultrasound dan Pusat Latihan dari Samsung

02
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 24 Nov 2015 – Lima set alat ultrasound dan pembangunan prasarana latihan disediakan untuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) oleh Samsung Sono School.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata dalam menghasilkan pakar-pakar klinikal bertaraf antarabangsa, UKM perlu menyediakan ekosistem pembelajaran yang sesuai bagi pengamal perubatan dengan menyediakan peluang untuk mendapatkan pendedahan kepada teknologi dan perkembangan ilmu terkini.

“Jadi, kerjasama ini sangat dialu-alukan bagi membina satu pusat pengajaran yang menggunakan teknologi ultrasound tercanggih di rantau ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian UKMMC-Samsung Sono School dan Pertukaran Memoradum Perjanjian (MoA) UKM-Samsung di PPUKM pada 17 November lalu.

Upacara itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Dalam ucapan beliau, Prof Noor Azlan berkata UKMMC-Samsung Sono School ditubuhkan dengan matlamat untuk melahirkan kepakaran dalam bidang sonografi dan memenuhi keperluan institusi perubatan dan masyarakat di Malaysia.

“Dengan adanya Sono School ini, Advance Surgical Skill Centre (ASSC) atau Pusat kemahiran Pembedahan Lanjut dapat menjalankan bengkel dalam bidang sonografi dan kemahiran menggunakan peralatan ultrasound yang berspesifikasi tinggi.

“Sono School boleh memuatkan 30 pelajar dalam satu-satu masa dan dilengkapi dengan lima set katil untuk bilik praktikal,” jelasnya.

Katanya ASSC ditubuhkan bagi mengisi permintaan latihan sub kepakaran berteknologi tinggi dan mengisi aspirasi UKM untuk meningkatkan kerjasama pintar antara universiti dan industri selain memantapkan peranan dalam kepakaran pembedahan.

“Sehingga kini, ASSC telah berjaya mengendalikan lebih 400 kursus dengan penyertaan lebih 6,000 peserta dalam pelbagai bidang.

“Baru-baru ini juga projek yang dilaksanakan di ASSC telah mendapat tempat pertama dalam Laporan Hasil Penilaian Outcome RMK-10 di Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penilaian bertempat di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Prof Noor Azlan turut memberitahu bahawa ASSC telah mendapat beberapa pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui jaringan kerjasama dengan institusi-institusi ternama dunia termasuklah The Royal College of Surgeons of Edinburgh.

“Kolej itu telah menganugerahkan Pingat Antarabangsa kepada Prof Madya Dr Hanafiah Harunarashid, Ketua Advanced Surgical Skills Centre. Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang menerima anugerah ini dan merupakan penerima termuda dalam sejarah 500 tahun Royal College of Surgeons,” terangnya.

Katanya beliau berharap dengan kerjasama serta perancangan yang strategik, ASSC akan dapat melaksanakan lebih banyak lagi kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha memantapkan peranan ASSC sebagai pusat latihan pembedahan termaju di Malaysia dan rantau Asia.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Korporat Samsung Malaysia Elektronik, Dato’ Roh Jae Yeol berkata pembangunan UKMMC-Samsung Sono School merupakan satu keputusan yang tepat memandangkan lokasi ASSC dalam premis PPUKM berfungsi sebagai hab penganjuran latihan dan bengkel kepakaran yang diadakan bersama dengan syarikat-syarikat lain.

“Penubuhan pusat latihan ini merupakan salah satu bentuk tanggungjawab korporat Samsung dalam konteks pendidikan perubatan sejajar dengan hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia untuk meningkatkan kepakaran Sonografer yang bertauliah,” katanya.

Katanya kerjasama UKM dan Samsung dalam pendidikan kesihatan adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan kepakaran yang bertauliah, memenuhi permintaan kepakaran di institusi perubatan lain dan sekaligus memberi manfaat kepada komuniti.
03

04

01

05