Pusat Sukan UKM Anjur Program Larian Secara Maya


Oleh: Farah A’lia Manan

BANGI, 6 Julai 2021- Program Fittest College Run (FCR) 2021 yang dianjurkan oleh Pusat Sukan UKM pada Mei lalu mendapat sambutan hangat dengan penyertaan hampir 500 peserta terdiri dalam kalangan kakitangan dan pelajar UKM.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan UKM, Mohd Fairus Shafie berkata, program tersebut adalah inisiatif pihak Pusat Sukan UKM yang mengalu-alukan pelajar dan orang awam untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Program FCR  meletakkan cabaran 10km  dalam satu minggu bermula 24 hingga 30 Mei 2021 bagi membudayakan amalan gaya hidup sihat di UKM,” katanya semasa ‘Webinar Berlari Lebih Kilometer; Ini Rahsianya’ dan Majlis Penutup Fittest College Run 2021 UKM yang diadakan secara dalam talian melalui Facebook Pusat Sukan UKM dan aplikasi Zoom baru-baru ini.

Antara kategori yang pertandingkan adalah individu terpantas wanita dan lelaki, jarak larian terkumpul paling jauh dan kolej paling cergas.

Webinar ini juga menjemput Penolong Pengurus Program Institut Sukan Negara, Mohd Faiz Othman atau lebih dikenali sebagai  Coach Faiz Matfo yang berkongsi pengalaman sebagai pelari jarak jauh.

Beliau memberikan perkongsian terbuka kepada sesiapa yang baru bermula dalam aktiviti larian dan menjadikannya sebagai gaya hidup yang sihat dan cergas termasuklah bebas dari kecederaan.

“Saya hanya memulakan aktiviti larian dengan satu kilometer sahaja sehinggalah dapat menyertai 100km dalam ultra marathon selama 15 jam,” katanya.

Beliau menambah, aktiviti larian dapat mengubah pola kehidupannya kepada yang lebih sihat.

“Berlari lebih jauh memerlukan komitmen dan kesabaran yang sangat tinggi dan jangan sesekali membandingkan diri anda dengan orang lain,” katanya.