Rumah Ronald McDonald Pertama di Asia Sambut Ulangtahun Ke-20


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 27 Ogos 2019 – Rumah Ronald McDonald (RRM) yang pertama di Asia, yang terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyambut ulang tahun ke-20 baru-baru ini.

Sambutan ulang tahun itu telah diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Apa yang menariknya ialah pada 20 tahun lepas, Tun Dr Siti Hasmah adalah tetamu kehormat yang hadir membuat penyerahan RRM kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini disebut HCTM).

Dalam ucapannya, Tun Dr Siti Hasmah berkata, beliau amat berbangga dengan komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) dan HCTM dalam usaha membantu keluarga pesakit pediatrik untuk berada dekat dengan anak-anak yang menjalani rawatan.

“Jangka masa 20 tahun bukanlah tempoh singkat. Saya terharu dengan komitmen dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak untuk memastikan kemudahan seperti ini dapat dikekalkan.

“Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama ibu bapa dan pesakit untuk sambutan kali ini… Kita perlulah berjuta-juta kali bersyukur kerana masih ada golongan yang memikirkan untuk membantu keluarga yang tidak bernasib baik,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ke-20 RRM-HCTM, baru-baru ini.

Katanya, syarikat korporat perlu lebih banyak memberi sumbangan dalam menyediakan rumah penginapan di hospital bagi meringankan beban keluarga pesakit yang menjalani rawatan.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang sanggup menyediakan kemudahan ini tanpa penat dan lelah kerana usaha ini boleh mendatangkan manfaat dan keselesaan kepada mereka yang sakit.

“Ibu bapa juga perlu bersyukur kerana ada golongan seperti ini yang sudi memberi khidmat ketika keluarga berusaha untuk mendapatkan rawatan bagi membolehkan anak mereka sihat kembali,” katanya.

Sementara itu, Pro Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal berkata, RRM menyediakan penginapan beserta fasiliti dan kemudahan asas kepada penghuni dengan kadar bayaran yang sangat minima.

“Selain RRM, HCTM juga menyediakan Rumah Perantaraan Seri Labuan (RPSL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang menyediakan sebanyak sembilan buah rumah di Bandar Tun Razak.

“Bezanya, RRM adalah untuk pesakit pediatrik manakala RPSL boleh dipohon oleh semua kategori pesakit,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana RRM HCTM adalah rumah penginapan pertama seumpamanya di Asia dan telah kekal sehingga kini serta menjadi satu nilai tambah dalam perkhidmatan yang disediakan oleh HCTM.

RRM HCTM ditubuhkan pada tahun 1999 oleh RMHC Malaysia dengan tujuan untuk meringankan beban keluarga pesakit pediatrik yang dirawat di HCTM-UKM dan hospital-hospital berdekatan.

Sejak ditubuhkan, seramai 1,300 pesakit pediatrik yang menjalani rawatan di HCTM-UKM sudah menginap di kediaman tersebut.

Bayaran penginapan dikenakan hanyalah RM5 untuk satu malam dan mampu memuatkan 19 keluarga pada satu-satu masa dengan pelbagai kemudahan disediakan.