Semangat Malaysia Prihatin Perlu disemarakkan dalam Setiap Warga UKM – Naib Canselor


Oleh Asmahanim Amir

Foto Izwan Azman

BANGI, 18 September 2020 – Semangat Malaysia Pritahin perlu disemarakkan dalam setiap warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dizahirkan bukan hanya melalui program-program kemerdekaan tetapi juga dizahirkan melalui gerak kerja di universiti iaitu ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai warga UKM, kata Naib Canselor, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

Beliau berkata, Malaysia Prihatin adalah satu tema yang sangat relevan pada hari ini kerana manusia menjadi semakin materialisitik, semakin bersendiri, sailo dan tidak prihatin kepada orang lain.

“Malaysia Prihatin ini saya anggap kita di UKM akan terjemahkannya dengan semangat yang bersungguh-sungguh yang melambangkan keprihatinan kita kepada negara dan juga seisinya. 

“Kita harapkan Malaysia Prihatin yang kita laksanakan di UKM ini adalah tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama, dan yang penting sekali kita adalah warga Malaysia, maka kita harus berikan semangat dan keprihatinan kita terhadap negara,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Konsert Malaysiaku Prihatin UKM 2020 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), baru-baru ini.

Katanya, setiap warga UKM perlu menyematkan ingatan tentang asas-asas perpaduan negara yang telah melahirkan kemerdekaan dan kebebasan daripada dibelenggu penjajah.

“Dengan keazaman yang bersungguh-sungguh ini, kita yakin negara kita akan terus maju. Kita juga bersyukur dan berharap agar keamanan yang dicapai selepas kemerdekaan ini akan terus kekal dan kita perlu memainkan peranan untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara ini kekal,” ujarnya.

Pelbagai program diadakan oleh UKM sepanjang bulan kemerdekaan termasuklah Kempen Kibarkan Jalur Gemilang, Pogram Pameran Kemerdekaan, Kembara Gemilang Semenanjung Malaysia, Konsert Malaysiaku Prihatin UKM 2020 dan juga program-program yang dilaksanakan di peringkat fakulti dan institut. 

“Semua aktiviti yang diadakan itu adalah sebagai lambang yang menunjukkan betapa tingginya semangat patriotisme kepada negara dan cintanya kita kepada keamanan dan perpaduan bangsa di negara kita. 

“Saya berharap program ini akan menjadi titik tolak untuk kita memaparkan apresiasi warga UKM kepada tanah air kita,” tambahnya.