Syaikh Hamzah Fansuri Tidak Sesat – Dr Mohd Syukri Yeoh

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 1 Julai 2015 –  Pengisytiharan sesat terhadap Tokoh ulama Melayu, Shaykh Hamzah Fansuri oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti Negeri semata-mata pendapat pengkaji Orientalis Barat, mesti ditarik balik kerana ia tidak benar.

Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof Madya Dr Mohd Syukri Yeoh Abdullah berkata kajian yang dibuat oleh orientalis barat iaitu R.A. Nicholson, E.G Browne, John Spencer Trimingham dan Massingon tidak boleh dijadikan nas dan hujah untuk memfatwakan sesat kepada Shaykh Hamzah Fansuri (lahir 1590 Masehi).

Beliau menegaskan bahawa kajian tersebut tidak boleh dijadikan rujukan kerana dalam surah Al-Nisa’ ayat 144, surah Ali Imran ayat 28 dan surah al-Mumtahanah ayat 1 Allah s.w.t telah melarang mengambil orang kafir sebagai teman apatah lagi mengambil sumber hasil kajian mereka sebagai sumber primer utama menyentuh ajaran Islam.

“Hasil fatwa sesat yang menggunakan hasil kajian orientalis Barat sebagai nas dan hujah seperti para sarjana Melayu tersebut terutama Fatah Haron perlu ditarik balik dan dibatalkan,” tegasnya.

Dr Mohd Syukri berkata demikian pada wacana ATMA: Syair Sidang Fakir Shaykh Hamzah Fansuri Murshid Terekat Qadriyyah di sini pada 16 Jun lepas.

Dalam wacana tersebut beliau turut menegur JAKIM dan Jabatan Mufti Negeri dalam mengeluarkan fatwa tersebut.

Dr Mohd Syukri berkata Shaykh Hamzah Fansuri merupakan tokoh Ah lillah iaitu orang-orang yang menjalani ke jalan Allah dan merupakan lagenda yang paling terkenal dalam dunia rohani Melayu.

“Banyak pesanan mengenai ketuhanan disampaikan melalui bait-bait syairnya terutama dalam manuskrip Syair Sidang Fakir yang memperlihatkan Hamzah Fansuri sebagai ulama yang berpegang kukuh kepada wahyu Allah SWT iaitu Al-Quran dan Hadis.

“Mereka berpendapat bahawa Hamzah Fansuri cenderung kepada Syiah Ismailliyyah kerana menggunakan Nur Muhammad dalam falsafah ontology dan kosmologinya.

“Penggunaan Nur Muhammad ini kononnya berasal dari kepercayaan mazhab Syiah Ismailliayyah yang bertaut dengan falsafah Yunani dan Parsi, iaitu falsafah emanasi Neo-Platonisme dan cahaya ajaran agama Zoroastrian,” terangnya.

Beliau turut jelaskan bahawa penggunaan istilah Nur Muhammad adalah bermula pada era Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul lagi dan banyak digunakan dalam syair jahiliah.

“Sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, terdapat beberapa peristiwa telah berlaku iaitu sepupu Siti Khadijah, Waraqah bin Nawfal telah mengungkapkan syair dengan harapan beliau dapat melihat Muhammad dilantik sebagai Nabi dan bagaimana baginda dapat mengatasi kaum kafir Quraisy dan tersebar nurnya di alam ini,” jelasnya.

Tambah Dr Mohd Syukri, dalam bidang kepengarangan Hamzah Fansuri telah menyalur gagasan dan pengajarannya dengan menggunakan Bahasa puisi untuk menggetar nurani pembaca dan pendengar Syair Sidang Fakir.

“Mesej yang diadun dalam syair tersebut bukan semata-mata lahir dari pemikiran dan ilham peribadi beliau malah mesej tersebut disulam dengan Bahasa indah penuh simbolik.

“Sidang Fakir adalah judul syair yang diberikan oleh Hamzah Fansuri dalam menyampaikan pesannya. Ia bermaksud kesepakatan orang-orang yang mengadakan perjalanan rohani untuk kembali kepada Allah terhadap sesuatu perkara,” katanya.

Menurut beliau, Hamzah Fansuri terus menyampaikan pesanan kepada masyarakat melalui syairnya dengan pesanan bahawa ilmu pengenalan diri adalah perlindungan diri dalam kehidupan dan tumpuan pengenalan diri itu harus fokuskan kepada manusia adalah hamba Allah.

“Hamzah Fansuri turut menegaskan supaya mengenal diri manusia kerana kehidupan manusia bagaikan pengembara untuk menuju ke destinasi seperti yang digambarkan oleh Rasulullah. Maka dengan mengenal diri, manusia akan mengetahui asal, tujuan dan tempat yang akan dikembali seperti firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 156 bermaksud ‘sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami kembali’,” katanya.

Menurut kajian, Hamzah Fansuri dipercayai dilahirkan di Barus atau Panchor, Sumatera Utara pada akhir abad ke-16.

Terang Dr Mohd Syukri, Hamzah Fansuri telah menyarankan supaya jangan terlalu ghairah mencari kemewahan dan kesenangan kehidupan dunia kerana ia akan memerangkap diri dalam nafsu.

“Nafsu diri ini perlu dikuasai dan dikawal sehingga mendapat perubahan dari satu tahap ke tahap yang lain dan perubahan akan mendapat kemuliaan dari Allah,” katanya.

Katanya Hamzah Fansuri menggunakan karya rohaninya untuk menyalurkan idea dan pesanan kepada masyarakat pada zamannya dan gagasan yang dikemukakan itu adalah melalui pendekatan analisis kandungan yang jelas memaparkan pengiktirafan Hamzah Fansuri terhadap anugerah akal kepada manusia dan peranan Bahasa sebagai jiwa bangsa.
ukmnewsportal-bm

02