Ubat Penghalau Monyet Raih Anugerah Inovasi Terbaik

Monkey Repellent Wins Best Innovation AwardOleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 Mei 2015 – Inovasi yang diciptakan oleh pelajar tahun dua dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina mungkin penyelesaian kepada masalah monyet berkeliaran di kolej-kolej kediaman dalam kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Muhammad Solihin Hamzah telah meraih anugerah inovasi terbaik sempena Fiesta Juadah Antarabangsa dan Pameran Inovasi Kolej Ungku Omar (KUO) yang diadakan di sini, semalam.

Muhammad Solihin, yang  mencipta cara menghalau kera dengan menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi, telah berjaya menarik perhatian Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal yang memilih reka cipta tersebut sebagai inovasi terbaik.

Beliau telah menggunakan kacang dan belacan untuk menghalau beruk  yang sering mengganggu pelajar di kolejnya.

“Saya tinggal di KUO dan kami sering didatangi oleh monyet di blok-blok kolej kediaman. Jadi saya memikirkan apa kaedah yang boleh digunakan untuk menghalau monyet dari mendekati kawasan blok kolej kediaman.

“Jadi saya mula membaca dan mencari bahan apa yang monyet tidak suka. Saya dapati banyak benda yang boleh digunakan untuk menghalau monyet tetapi kos untuk mendapatkan bahan tersebut adalah tinggi kecuali penggunaan belacan dan kacang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Hasil pembacaannya, beliau mendapati monyet tidak suka pada belacan kerana boleh menyebabkan kegatalan.

“Jadi saya cuba menggaulkan belacan dengan kacang dan dimasukkan ke dalam botol plastik yang telah ditebuk lubang. Saya telah menggunakan beberapa jenis belacan kerana bukan semua belacan yang ada dipasaran dapat menghalau beruk.

“Apabila saya meletakkan botol yang berisi belacan dan kekacang pada blok KUO, saya dapati monyet-monyet tersebut tidak datang menghampiri kawasan itu. Jadi, kajian dan inovasi yang saya jalankan ini saya anggap berjaya,” katanya.

Menurut beliau, memandangkan belacan ini mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan, botol-botol tersebut akan diletakkan di bawah-bawah pokok di sekitar kolej kediaman tersebut.

“Untuk membawa inovasi ini ke hadapan, saya perlu membuat penyelidikan yang lebih rapi dan perlu tahu komposisi belacan yang perlu digunakan. Mungkin juga ada kaedah lain yang lebih sesuai dan strategik yang boleh saya gunakan dalam menghasilkan produk ini kelak,” katanya.

Muhammad Solihin  mengambil masa kira-kira sebulan untuk mencari bahan, seterusnya menghasilkan penghalau monyet tersebut.

Sementara itu, Pengarah Projek Fiesta Juadah Antarabangsa dan Pameran Inovasi Kolej Ungku Omar, M Dineshni Muthukumar berkata terdapat 19 penyertaan untuk pameran inovasi termasuklah Pengumpul Air Hujan, Penghalau Monyet, Penghias Lampu Kitaran Semula dan Makanan Rumpai Laut.

Selain itu, pameran makanan dari sembilan negara termasuk Malaysia, Jordan, Libya, Iraq, Iran, China, Kazakhstan dan Jepun, turut dijayakan.

Pelajar siswazah dan pasca-siswazah dari pelbagai fakulti terlibat dalam pameran ini yang dianjurkan oleh KUO dan merupakan kesinambungan daripada program Food Paradise yang diadakan pada tahun lepas.